Pulau Pinang sokong SFZ bagi wilayah utara, tunggu maklumat lanjut - Chow

Bernama
September 23, 2023 17:07 MYT
Menurut Chow kerajaan Persekutuan masih belum mengumumkan butiran lanjut mengenai SFZ berkenaan mahu pun untuk Forest City di Johor yang diumumkan sebelum ini.- Gambar fail
BUTTERWORTH: Kerajaan Pulau Pinang menyokong sebarang insiatif ekonomi yang bermanfaat untuk negeri itu, termasuk pembentukan zon kewangan khas (SFZ) bagi wilayah utara, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan Persekutuan masih belum mengumumkan butiran lanjut mengenai SFZ berkenaan mahu pun untuk Forest City di Johor yang diumumkan sebelum ini.
"Saya telah meminta (badan pemikir) Penang Institute untuk mengkaji mengenai SFZ dan setakat ini tiada perincian berkaitan pelaksanaannya.
"Sudah semestinya sebarang inisiatif baharu bagi ekonomi akan memberi manfaat kepada negeri, namun (SFZ) ini sebenarnya di bawah bidang kuasa Persekutuan kerana melibatkan cukai dan insentif.
"Kami akan menunggu maklumat lanjut daripada Kerajaan Persekutuan mengenainya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Chow berkata SFZ secara amnya boleh diwujudkan dalam pelbagai bentuk seperti zon perdagangan bebas (FTZ) atau zon komersial bebas yang ada di Pulau Pinang.
Pada 25 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembentukan SFZ di Forest City serta beberapa insentif merangkumi visa masuk berbilang, kemudahan untuk mereka yang bekerja dari Singapura dan kadar cukai pendapatan 15 peratus untuk pekerja mahir.
Ini disusuli dengan kenyataan Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang menyarankan agar kerajaan mewujudkan zon sama di Pulau Pinang dengan tumpuan wilayah utara memandangkan peranan negeri itu sebagai hab pembuatan utama selain menyumbang cukai RM10 bilion kepada kerajaan Persekutuan.
Lim juga menyifatkan Pulau Pinang memiliki kesemua kelebihan saingan dan keperluan kritikal bagi sebuah negeri perindustrian yang akan memacu pertumbuhan sektor perkhidmatan, bukan hanya di wilayah utara tetapi seluruh negara.
Terdahulu Chow dan Lim melancarkan Kluster Sains Pulau Pinang @ Bagan yang juga sebuah pusat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dalam ekosistem STEM negeri itu.
Pusat tersebut menawarkan peluang pembelajaran teknikal dan akademik untuk pelajar, lepasan sekolah serta golongan dewasa.
-- BERNAMA
#kerajaan pulau pinang #zon kewangan khas #Chow Kon Yeow #wilayah utara
;