Pulau Pinang berpotensi menjadi kuasa ekonomi terpenting di ASEAN
Fahmi Izuddin
Oktober 26, 2023 10:00 MYT
Oktober 26, 2023 10:00 MYT
BAYAN LEPAS: Pulau Pinang berpotensi menjadi salah satu kuasa ekonomi terpenting di rantau ASEAN menerusi pelaburan dan perdagangan yang aktif di negeri itu.
Timbalan Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, ini kerana Pulau Pinang sering menjadi pilihan syarikat-syarikat luar dan multinasional untuk meluaskan perniagaan dan perkhidmatan mereka.
Katanya lagi, kerajaan Pulau Pinang sedang merangka strategi untuk menarik lebih ramai pelabur luar untuk melabur di negeri itu secara agresif.
"Sememangnya kita akan menjadi satu a force to be reckoned with. Seperti yang saya nyatakan, kalau kita lihat pada number multinasional company yang kita ada, dia bukan syarikat atau fasiliti yang kecil, tetapi yang besar di seluruh pelusuk dunia,
"Mereka mempunyai headquaters mereka di pulau pinang, dan kita memang satu force to be reckoned with,
"Dan kita sedang membuat perancangan yang rapi supaya menjadi lebih syarikat sebegitu rupa akan melabur di Pulau Pinang, so we are making the arrangement to making sure it happens. We would like to appeal to the entire world, come to penang, cause penang has it all," ujarnya ketika menghadiri Majlis Makan Malam Gala, Asean Investment and Trade (AITF 2023) di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Pulau Pinang secara khususnya mempunyai landskap industri yang besar dan kos pengurusan perdangan yang rendah.
Ia sekali gus, kata Jagdeep, menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi yang ideal di rantau ini untuk dijadikan tempat pelaburan berskali besar, disamping lokasinya yang cukup strategik.
Selain itu, beliau berkata, AITF 2023 menjadi bukti komitmen kerajaan negeri untuk terus memacu kemakmuran dan kemampanan ekonomi menerusi pelaburan yang kondusif dan mengembalikan hasil kemakmuran itu untuk dirasai oleh rakyat Pulau Pinang.
Buat julung kalinya, Pulau Pinang dipilih untuk menjadi tuan rumah AITF 2023 yang berlangsung pada 24 hingga 25 Oktober di Setia SPICE Convention Centre, di sini.
Forum tersebut menghimpunkan para pengusaha PMKS dan pelabur dari dalam dan luar negara untuk membina hubungan perniagaan menerusi sesi perkongsian ilmu pengurusan kewangan, perniagaan dan ekonomi.