Pulau Pinang bentang belanjawan defisit RM449.80 juta bagi 2022
Bernama
November 26, 2021 07:39 MYT
November 26, 2021 07:39 MYT
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini membentangkan Belanjawan 2022 dengan unjuran defisit lebih tinggi pada RM449.80 juta berbanding RM403.80 juta yang dianggar bagi 2021.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri berhati-hati dalam menetapkan jangkaan hasil pada tahun hadapan dengan mengambil kira kesan pandemik COVID-19 yang masih belum reda.
"Dengan jangkaan hasil negeri yang berjumlah RM485.42 juta dan perbelanjaan mengurus berjumlah RM935.22 juta, maka Belanjawan 2022 adalah belanjawan defisit berjumlah RM449.80 juta. Anggaran defisit ini akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM887.78 juta pada akhir tahun 2020.
"Peruntukan mengurus tahun 2022 ini meningkat sebanyak RM25.40 juta atau kenaikan sebanyak 2.79 peratus berbanding bajet tahun 2021 disebabkan oleh kenaikan emolumen tahunan, pemberian geran kepada anak syarikat kerajaan negeri, pelaksanaan pelan pemulihan pasca-pandemik COVID-19 dan lain-lain," katanya semasa membentangkan belanjawan yang bertemakan "Mempercepatkan Pencapaian Penang2030" itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Chow berkata strategi penyediaan belanjawan itu adalah untuk memastikan semua jabatan negeri dapat berfungsi secara optimum dan efisien selain meneruskan pelaksanaan projek pembangunan negeri untuk merangsang semula pemulihan ekonomi dan program kebajikan negeri sedia ada.
Walaupun tidak menafikan bahawa amaun defisit itu adalah tinggi namun, katanya, kerajaan negeri optimis kutipan hasil negeri akan dapat ditingkatkan semula dengan langkah-langkah pemulihan ekonomi yang sedang diambil oleh kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan.
Beliau berkata ekonomi Pulau Pinang diunjur pulih secara beransur-ansur pada 2022 dengan aktiviti pelancongan dan perhotelan dijangka pulih pada kadar pertumbuhan sederhana disokong oleh pelancongan domestik serta diseimbangkan oleh kestabilan pertumbuhan sektor pembuatan khususnya dalam produk Elektrik dan Elektronik.
Susulan itu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta dalam Belanjawan 2022 kepada sektor pelancongan bagi merancakkan semula industri tersebut yang menjadi penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negeri sebelum penularan pandemik.
Chow berkata kerajaan negeri juga akan mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif dan pembangunan infrastruktur yang berterusan dengan memberi penekanan kepada kemudahan untuk menjalankan perniagaan di Pulau Pinang, mengekalkan kos kompetitif serta pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur untuk menyokong keperluan pelabur dalam era Industri Revolusi 4.0.
--BERNAMA