PTPAD 2016 gariskan pembangunan pengangkutan awam lima tahun kini, akan datang

Bernama
Oktober 17, 2016 14:12 MYT
Laporan itu turut menyentuh pelan pembangunan pengangkutan awam untuk tempoh lima tahun akan datang, iaitu dari 2016 hingga 2021. - Gambar fail
Pencapaian dan usaha kerajaan bagi membangunkan pengangkutan awam negara dalam tempoh lima tahun antara intipati utama yang diketengahkan dalam Laporan Perjalanan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (PTPAD) 2010-2015.
Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu menggariskan usaha-usaha kerajaan dalam pembangunan perkhidmatan bas, pemantapan sistem rel, meningkatkan taraf industri teksi dan meningkatkan pengangkutan kenderaan barangan.
Selain itu, pembangunan pengangkutan pelancongan, pelancaran kereta api Komuter, penguatkuasaan undang-undang pengangkutan awam darat dan kemudahan perjalanan ulang-alik pengguna turut digariskan dalam laporan itu.
Laporan itu turut menyentuh pelan pembangunan pengangkutan awam untuk tempoh lima tahun akan datang, iaitu dari 2016 hingga 2021.
Antaranya pembangunan projek Mass Rail Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang, projek Sistem Pembayaran Umum Bersepadu yang disasarkan bermula 2018, kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura, dan Bas Rapid Transit (BRT) yang bakal dibina di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuala Lumpur-Klang.
Pelan itu juga merupakan sebahagian daripada Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara (RIPAD).
Laporan itu dikeluarkan bersempena Simposium Tahunan Pengangkutan Awam Darat 2016 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - BERNAMA
#Laporan Perjalanan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (PTPAD) 2010-2015 #SPAD
;