PTP rangkul Anugerah Pelabuhan Terbaik Malaysia 2014
Mariah Ahmad
November 2, 2015 22:37 MYT
November 2, 2015 22:37 MYT
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) hari ini dinamakan sebagai pemenang Anugerah Pelabuhan Terbaik 2014 Malaysia sempena Hari Maritim Sedunia 2015.
Pengerusi PTP dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh dalam satu kenyataan hari ini berkata, kemenangan ini akan menjadikan pihaknya untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan pada masa akan datang.
"Kami berbangga dengan anugerah berprestij yang dimenangi ini. Kami akan terus meningkatkan perkhidmatan dan mencapai visi kami dalam menjadi pelabuhan pilihan utama di rantau ini.
"Dengan pelbagai usaha bersepadu dan siri usaha operasi dan teknikal yang dilaksanakan PTP, kami yakin prestasi kukuh ini akan berterusan," tambah Che Khalib pada Isnin dalam kenyataan yang sama.
Anugerah yang disampaikan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkenaan adalah bagi mengiktiraf peningkatan positif PTP yang berterusan dalam operasi kontena dan pengoptimuman sumber lebih baik dalam mencapai kecemerlangan operasinya.
PTP memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan sejak ia dilancarkan pada 2000 seperti, pelabuhan Malaysia pertama menerima Sistem Pengurusan Bersepadu, yang bersepadu dengan ISO 9001, ISO 14001 dan OHSAS 1800; Pengendali Terminal Hijau Asia-Pasifik Terbaik Tahun 2012 oleh Frost & Sullivan; Anugerah Kecemerlangan Kajian APMT; dan Anugerah ASEAN Kajian Perniagaan Teknologi bagi Kecemerlangan dalam Logistik.
#anugerah pelabuhan terbaik malaysia 2015
#hari maritim sedunia
#MMC
#pelabuhan tanjung lepas
#PTP
#pwtc liow tiong lai