PRU15: Pasangan muda jana pendapatan lebih RM30,000, buka peluang pekerjaan penduduk tempatan
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 25, 2022 23:31 MYT
Oktober 25, 2022 23:31 MYT
SEMALAM Astro AWANI membawa isu kebimbangan penduduk Rembau, Negeri Sembilan, akibat penghijrahan golongan muda dari desa ke ibu kota kerana kekangan peluang kerja di daerah itu.
Suara Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Durian Daun, Rembau, Mohammad Yusoff Muslim, 65, diangkat dengan harapan mendapat perhatian pemimpin, terutama bakal wakil rakyat di kawasan itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Hari ini, Astro AWANI mendekati pula beberapa individu di sekitar daerah berdekatan iaitu Kuala Pilah, untuk melihat bagaimana golongan muda berjaya menghasilkan sumber pendapatan lumayan walaupun tinggal di kawasan desa.
Kuala Pilah adalah antara kawasan yang cukup terkenal dengan sumber pertanian dan menyaksikan ramai usahawan berjaya dalam kalangan belia dilahirkan.
Sesiapa sahaja yang pernah berkunjung ke Kuala Pilah pastinya akan tahu bahawa kebanyakan kawasannya dikelilingi hutan dan tanah terbiar, sama ada dimiliki oleh penduduk tempatan atau pihak luar.
Bagi pengunjung luar, ia adalah pemandangan menghijau yang menyenangkan, namun bagi pasangan suami isteri, Mohd Azally Azwar Ghazali, 32, dan Siti Nor Abd Ghani, 32, semua itu adalah peluang untuk menjana sumber pendapatan.
Kejayaan pasangan ini memperoleh pendapatan mencecah RM35,000 sebulan mungkin boleh dijadikan sumber inspirasi dalam kalangan orang muda di daerah itu.
Siti Nor yang berkelulusan Sarjana Pengurusan dari universiti tempatan, sebelum ini cuba berjinak-jinak dengan ternakan kambing dalam jumlah yang kecil, dan akhirnya berkembang sehingga menjadi usahawan berjaya.
Menurutnya, dia dan suami memberikan kambing mereka makan rumput Napier Bagan Tengkorak (BTN) dan mendapati pertumbuhan ternakan mereka amat baik.
Justeru, mereka kemudian mendapat idea untuk menjadi pembekal rumput BTN, dan ternyata idea itu membuahkan hasil apabila muncul sebagai pembekal BTN terbesar di Kuala Pilah.
Rumput jenis itu kini menjadi makanan alternatif pilihan ramai penternak lembu di daerah itu susulan harga dedak yang kian melambung di pasaran.
“Kalau kita lihat sewaktu negara berdepan dengan COVID-19, kenaikan harga dedak terlampau tinggi sehingga membebankan penternak tempatan.
“Walaupun bermula dengan tidak serius dan kecil Alhamdulillah kini ia diterima oleh pelanggan. Pada peringkat awal mereka agak skaptikal. Malah kami sendiripun juga agak sukar juga pada mulanya,” katanya ketika ditemui Astro AWANI yang membuat tinjauan sempena PRU15 di Kuala Pilah, hari ini.
Mereka berdua ditemui di ladang tanaman rumput BTN di Kampung Limau Purut, di Kuala Pilah.
Walaupun tidak sampai empat tahun beroperasi, syarikat MHAgro Enterprise milik mereka kini telah memiliki dua buah ladang tanaman seluas 80 ekar di Kuala Pilah.
Malah pengeluaran rumput tersebut mencecah kira-kira 80 tan sebulan untuk dipasarkan di sekitar daerah berkenaan.
“Setakat ini pasaran kami hanya tertumpu dalam kalangan penternak di daerah ini memandangan permintaan yang terlalu tinggi menyebabkan kami belum dapat memenuhi permintaan di tempat lain," katanya lagi.
Mereka berdua juga bersyukur, kelapangan rezeki yang diberikan Allah turut membuka ruang kepada penduduk sekitar berkongsikan sumber pendapatan baharu.
Ketika ini, pasangan itu memiliki lebih 10 pekerja yang akan ditambah memandangkan mereka turut merancang untuk meluaskan lagi ladang dan membesarkan pasaran dalam masa terdekat.
Pada mereka, kejayaan yang dicapai adalah hasil kesungguhan dan ilmu selain niat ikhlas untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat sekitar.