Proton yakin atasi sasaran awal jualan Suprima S pada bulan pertama
Bernama
Ogos 27, 2013 15:41 MYT
Ogos 27, 2013 15:41 MYT
Proton Holdings Bhd yakin tempahan bagi model terbaharunya, Suprima S, akan melebihi sasaran awal sebanyak 750 unit bagi bulan pertama.
Ketua Pegawai Operasi (Komersial) Hisham Othman berkata sambutan untuk model hatchback itu begitu menggalakkan dan syarikat menerima ratusan tempahan walaupun baru seminggu diperkenalkan di pasaran.
"Dari apa yang kami perhatikan, pelanggan-pelanggan kami tertarik dengan reka bentuk luar model ini, styling, pilihan warna dan profil hatchbacknya.
"Apabila dipandu uji, mereka mendapati model ini juga bagus dari segi prestasinya," kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.
Hisham menjangka model hatchback berkenaan dapat menyumbang kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan jualan bulanan Proton, berdasarkan minat yang semakin meningkat terhadap model jenis ini.
"Segmen hatchback di Malaysia merupakan salah satu pasaran khusus. Pengguna tempatan lebih gemar memiliki model-model sedan berbanding hatchback ini," katanya.
Beliau berkata model hatchback seperti Suprima S lebih digemari pengguna berkeluarga kecil.
Bagaimanapun, Hisham melihat pasaran hatchback meningkat setiap tahun dan menjadi semakin popular dalam kalangan pengguna kereta di Malaysia.
"Pasaran terbesar kami setakat ini adalah Malaysia, dan memang menjadi hasrat kami untuk mengeskport Suprima S ini ke pasaran luar seperti Australia, Indonesia, Brunei dan Thailand, seperti model-model kami sebelum ini.
"Kami yakin model ini akan mendapat sambutan di pasaran luar kerana kereta ini diiktiraf oleh Australian NCAP (Program Penilaian Kereta Baharu) dengan taraf lima bintang iaitu tahap perlindungan paling tinggi," katanya.