Proton tingkat penguasaan pasaran pada September
Bernama
Oktober 1, 2018 07:00 MYT
Oktober 1, 2018 07:00 MYT
Proton Holdings Bhd (Proton) telah meningkatkan penguasaan pasarannya pada September dengan kenaikan 15 peratus dalam Jumlah Volum Industri (TIV), paras tertinggi baharu bagi tahun ini dan peratusan penguasaan tertinggi sejak Mei 2017.
Dalam satu kenyataan di sini pada Isnin, Proton berkata, peningkatan keseluruhan penguasaan pasaran menunjuk ke arah jualan Proton yang terus meningkat pada bulan itu berbanding pesaing utamanya.
"Peratusan sebenar akan disahkan selepas jumlah rasmi diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia tetapi dari konteks sejarah, hasilnya sangat baik.
"Penjualan tahun ke tahun meningkat sebanyak satu peratus dan penguasaan pasaran sebanyak empat peratus berbanding 2017, hasil yang amat baik memandangkan bulan itu secara tradisinya adalah lembap," katanya.
Pengeluar kereta nasional itu berkata, analisis lanjut menunjukkan pertumbuhan dalam penguasaan pasaran sebagai sebahagian daripada trend keseluruhan syarikat dari awal 2018 dengan peningkatan yang ketara pada Ogos (14.5 peratus) yang dibawa ke September.
"Selepas tiga bulan berturut-turut mencatat jualan tertinggi pada 2018, jualan kereta di Malaysia menyusut pada September apabila Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikuatkuasa.
"Proton tidak terkecuali kerana jualan tertinggi dalam tempoh 36 bulan lepas sebanyak 9,501 unit telah merosot kepada jualan 4,524 unit," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa berkata, Proton memutuskan untuk meminimumkan impak dengan menyerap SST dan langkah itu berjaya apabila keseluruhan penguasaan pasarannya setakat ini berkembang ke paras tertinggi pada 2018.
"Kami meramalkan kejatuhan TIV pada September kerana dalam tempoh tiga bulan Cukai Barang dan Perkhidmatan berkadar sifar telah mewujudkan tempoh jualan yang luar biasa untuk pasaran.
"Dengan tempoh orang ramai berpusu-pusu membeli kereta baru berakhir dan SST dilaksanakan, pembeli kembali ke corak pembelian normal tetapi wujud terlebih pembetulan dalam jangka pendek," katanya.
-- BERNAMA
#Abdul Rashid Musa
#ekonomi
#jualan
#Jumlah Volum Industri
#pasaran
#Persatuan Automotif Malaysia
#Proton
#SST
#TIV