Proton tingkat pengeluaran, cepatkan penghantaran model X50 2024

Bernama
Julai 19, 2024 10:45 MYT
Sejak pelancarannya pada 2020, Proton X50 telah menjadi SUV terlaris di Malaysia, dengan mencatatkan jualan sebanyak 115,262 unit sehingga Jun. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd sedang meningkatkanpengeluaran Proton X50 2024 bagi memenuhi permintaan terhadap model itu yang menggalakkan dan mempercepat jadual penghantaran kepada pelanggan menjelang Ogos 2024.
Proton X50 2024 yang baharu dilancarkan telah menerima sambutan yang menggalakkan, dengan mencatatkan jumlah tempahan sebanyak 8,000 dalam tempoh hanya sebulan sejak pelancarannya pada Jun tahun ini.
"Permintaan yang positif ini jauh melebihi jangkaan kami dan telah menetapkan piawaian baharu untuk segmennya. Semua pelanggan yang layak mendapat promosi early bird diskaun tunai RM7,000 dan sokongan tukar beli RM1,000/RM1,500 akan menerimanya dengan sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Roslan Abdullah berkata bilangan tempahan yang luar biasa pada bulan pertama menunjukkan daya tarikan kukuh Proton X50 2024.
"Kami memahami keterujaan dan jangkaan mengenai Proton X50 2024 dan ingin memberi jaminan kepada pelanggan bahawa kami sedang melakukan segala yang mungkin untuk memenuhi jangkaan mereka," katanya.
Sejak pelancarannya pada 2020, Proton X50 telah menjadi SUV terlaris di Malaysia, dengan mencatatkan jualan sebanyak 115,262 unit sehingga Jun.
Sementara itu, sempena sambutan pencapaian lima juta kenderaannya, PROTON turut memperkenalkan pakej promosi untuk model-model lain, seperti diskaun tunai RM500 untuk Proton Saga, RM7,000 untuk Proton X70, dan penyelenggaraan perkhidmatan percuma selama dua tahun untuk Proton X90, katanya.
Proton turut memperkenalkan acara 'uji pandu dan menang tanpa kewajipan membeli' yang dinanti-nantikan di bilik pameran Proton di seluruh negara.
-- BERNAMA
#Proton #X50 #permintaan menggalakkan #tempoh menunggu