Proton tawarkan promosi Tahun Baru Cina bagi pakej khidmat selepas jualan
Bernama
Januari 8, 2016 20:33 MYT
Januari 8, 2016 20:33 MYT
Unit milik penuh Proton Holdings Bhd, Proton Edar Sdn Bhd, menawarkan promosi sempena Tahun Baru Cina untuk pakej khidmat selepas jualan.
Menurut Proton, promosi itu bermula hari ini sehingga 31 Mac, 2016 di semua pusat servisnya di seluruh negara.
"Proton menawarkan pemeriksaan 30 aspek secara percuma. Ia akan termasuk pemeriksaan brek, tali sawat pemasaan, pengelap cermin silikon, klac, penyerap hentakan dan bateri.
"Pelanggan akan turut menikmati diskaun sehingga 20 peratus bagi alat ganti kereta terpilih," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, promosi itu bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan pelanggan terutamanya bagi pemanduan jarak jauh semasa cuti perayaan dan kepentingan penyelenggaran kenderaan dengan baik.
"Ia dilaksanakan bagi menggalakkan kenderaan yang sudah tidak mempunyai jaminan untuk menikmati pakej penyelenggaraan istimewa memandangkan kami mengambil berat terhadap semua pelanggan," menurutnya.
Bagi maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web Proton Edar di www.proton-edar.com.my atau menghubungi talian khidmatnya di 1-800-888-398.