Proton tandatangan MoU bangunkan kereta tempatan Indonesia
Harits Asyraf Hasnan
Februari 6, 2015 18:52 MYT
Februari 6, 2015 18:52 MYT
Syarikat automotif negara, PROTON Holdings Berhad (Proton) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat dari Indonesia, PT Adiperkasa Citra Lestari (PT ACL) bagi mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam usaha pembangunan dan pembinaan kereta tempatan Indonesia.
Mewakili Proton pada majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah dan disaksikan oleh Duta Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim sementara mewakili PT ACL adalah Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdullah Mahmuh Hendropriyono dan disaksikan oleh Duta Indonesia di Malaysia, Herman Prayitno.
Majlis penuh bersejarah itu turut disaksikan Presiden Indonesia, Joko Widodo; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kompleks Kecemerlangan Proton di Subang Jaya pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan media, Abdul Harith berkata, mengikut MoU itu satu kajian daya maju akan dilakukan untuk meneroka bidang spesifik kerjasama antara kedua-dua syarikat, termasuk potensi pembangunan dan pengeluaran projek kereta terbabit di Indonesia.
Katanya usaha sama ini bagus kerana kedua-dua negara berganding bahu untuk membangunkan produk untuk pasaran yang lebih luas.
Proton yang memiliki kemudahan, keupayaan dan pengetahuan teknologi dalam reka bentuk, pembangunan dan pengeluaran kereta ialah satu-satunya syarikat di ASEAN yang mempunyai kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Sementara itu, Abdullah Mahmud berkata MoU itu adalah pembangunan besar dalam industri automotif Indonesia yang mana kerjasama itu akan menawarkan peluang pekerjaan lebih besar kepada rakyat negara itu.
Jelasnya, dengan kepakaran dimiliki Proton serta kesamaan budaya dan persekitaran, beliau yakin Proton boleh membantu melatih dan membangunkan sekumpulan tenaga kerja pakar untuk industri automotif negara tersebut.
Selesai majlis pemeteraian MoU tersebut, Presiden Indonesia, Joko Widodo melawat Pusat Kecemerlangan Proton diiringi Tun Dr Mahathir dan Pengurusan Tertinggi Proton.
Jokowi turut merasai uji pandu Proton Iriz yang dipandu sendiri oleh Tun Mahathir.
Beliau turut dibawa melihat pusat penyelidikan dan pembangunan serta bahagian pemasangan kenderaan.