Proton sedia rebut kembali peneraju pasaran
Hans Yusoff
September 25, 2014 19:21 MYT
September 25, 2014 19:21 MYT
Proton Holdings Berhad kini bersedia merebut kembali semula kedudukan sebagai peneraju pasaran dan meningkatkan sumbangan eksportnya.
Langkah itu mula menunjukkan petanda baik apabila tempahan untuk model terbarunya, Iriz kini melebihi 17 ribu unit.
Perkembangan positif itu juga hasil penetapan kualiti yang ketat yang menarik minat pelanggan terutama soal keselamatan apabila Iriz diiktiraf program penilaian kereta baru bagi negara-negara Asia Tenggara , ASEAN (NCAP).
Tempahan memberangsangkan bagi model Iriz meyakinkan untuk Proton mencapai sasaran jualan 160,000 unit dalam tempoh setahun.
Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamed turut mengaku syarikat kenderaan nasional negara itu kini lebih berdaya saing dalam mengeluarkan produk terbaik, bukan sahaja bagi pasaran tempatan malah menjangkaui pasaran antarabangsa.
"Sekarang kita (Proton) mengeluarkan kenderaan mengikut kehendak negara tertentu. Ada yang mahukan transmisi manual dan ada yang memilih automatik. Ada pelbagai kehendak pengguna (pasaran antarabangsa),” ulas Tun Dr. Mahathir Mohamed yang juga Pengerusi Proton.
Antara teknologi dan spesifikasi terkini Proton Iriz termasuk sistem brek antikekunci, kawalan kestabilan elektronik, beg udara keselamatan, kawalan cengkaman, bantuan brek dan sistem penyaluran brek.
Harga jualan bagi model 1.3 liter bermula dari RM42,438 hingga RM49,888 manakala bagi model 1.6 liter, ia dijual pada harga RM53,438 hingga RM62,888.