Proton sedia khidmat pemeriksaan keselamatan percuma sempena Tahun Baru Cina

Astro Awani
Februari 3, 2016 18:24 MYT
Promosi itu akan diadakan mulai esok sehingga 6 Februari bermula 10 pagi sehingga 7 malam di tujuh stesen Petronas di Selangor, Johor, Kedah serta Pahang. -Gambar fail/Astro AWANI
Sempena sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd akan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan keselamatan 30 mata secara percuma untuk para pelanggannya.
Dalam satu kenyataan hari ini, promosi tersebut hasil kerjasama dengan Petronas melalui kempen 'Petronas Coffee Break,' akan diadakan mulai esok sehingga 6 Februari 2016, bermula jam 10 pagi sehingga 7 malam di tujuh stesen Petronas di Selangor, Johor, Kedah serta Pahang.
Melalui kempen keselamatan yang diadakan di seluruh negara ini, pemilik boleh membawa kenderaan mereka ke pusat servis Proton bagi mendapatkan pemeriksaan keselamatan secara percuma.
Pemeriksaan itu termasuk aspek tahap cecair, bateri, bilah pengelap cermin, penutup radiator, pengendalian pedal, sistem suspensi, sambungan stereng dan sistem 'ball joint,' sistem penyejukan, bahan api, sistem brek serta tekanan tayar (termasuk tayar ganti).
Selain itu, pemilik kenderaan Proton juga diberikan beg cenderahati berisi limau mandarin, sampul angpau dan air mineral sebagai penghargaan di atas sokongan mereka.
Antara lokasinya termasuk di stesen minyak Petronas terpilih di Kawasan Tengah iaitu Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan di Lebuhraya SILK; Lebuhraya Utara Selatan - Taman Nilam Sari, Bandar Anak Bukit, Tok Senik; Kawasan Selatan - Lebuhraya Pasir Gudang dan di Pantai Timur - R & R Bentong.
#pemeriksaan keselamatan 30 mata #pengeluar kereta nasional #Petronas Coffee Break #Proton Holdings Bhd #Tahun Baru Cina
;