Proton sasar jualan 150 ribu unit 2016

Bernama
Januari 14, 2016 10:22 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Abdul Harith Abdullah berkata model baharu itu akan diperkenalkan setiap suku tahunan 2016-Foto Bernama (Feb 2015)
Pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd (Proton), menyasarkan jualan 150,000 unit pada 2016, dengan mempertaruhkan model sedia ada dan empat model baharu yang akan dilancarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Abdul Harith Abdullah berkata model baharu itu akan diperkenalkan setiap suku tahunan 2016.
"Selepas mencatat jualan melepasi 100,000 kenderaan pada 2015, tahun ini pasti sangat menarik bagi Proton, inilah komitmen saya kepada pemegang kepentingan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pelantikan 29 pengedar Proton di sini hari ini.
Mereka kini merupakan pengedar Suzuki di seluruh negara.

Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad berkata model baharu akan menggunakan nama model Proton sedia ada bagi menjimatkan masa mempromosikannya kepada orang ramai.

"Dulu, Proton mengeluarkan model baharu dengan nama baharu. Kami mengambil masa yang lama mempromosikan jenama baharu tanpa merujuk kepada sejarahnya.
"Seperti syarikat lain, Toyota dan Honda, kami memutuskan untuk membina kereta baharu tetapi mengekalkan nama lama," katanya.
Mengenai Suzuki, Harith berkata syarikat itu mempunyai teknologi yang kukuh serta kepakaran mengeluarkan segmen enjin kecil seperti A dan B.
"Apabila Suzuki keluar dari pasaran Malaysia, kepakaran mereka sudah pasti melengkapkan pelan jangka panjang Proton. Usaha sama ini akan memaksimumkan potensi dari segi jumlah, pengurangan masa untuk pembangunan selain menyegerakan masa untuk dipasarkan," katanya.
Menerusi 29 premis tambahan, Harith berkata Proton dapat menaingkatkan jumlah pusat 4S, 3S serta 1+2S kepada 105 premis di seluruh negara.

"Ini akan memberikannya rangkaian kukuh dan menjadi tulang belakang kepada Proton untuk bergerak ke hadapan. Nyata, antara isu yang kami hadapi ialah kualiti yang lemah selepas perkhidmatan jualan.

Walaupun 29 premis merupakan sebahagian daripada Proton Edar, mereka akan terus menyediakan perkhidmatan dan baik pulih untuk 48,000 pelanggan Suzuki di Malaysia.
Perkhidmatan selepas jualan dan jaminan perlindungan alat ganti tulen untuk pemilik kereta Suzuki, akan beroperasi seperti biasa.
Perniagaan Suzuki di Malaysia diurus oleh Malaysia Automobile Sdn Bhd (SMA) dengan 40 peratus dimiliki Suzuki.
#automotif #jualan #Proton #Suzuki