Proton sasar jual model S70 2,000 unit sebulan - Timbalan Ketua Eksekutif
Bernama
November 9, 2023 15:42 MYT
November 9, 2023 15:42 MYT
TANJUNG MALIM: Proton Holdings Bhd (Proton) menyasar menjual model sedan terbaharunya, S70, sebanyak kira-kira 2,000 unit sebulan, kata Timbalan Ketua Eksekutifnya Roslan Abdullah.
Beliau berkata anggaran jualan itu adalah berdasarkan permintaan dan tempahan dan dijangka meningkat sekiranya permintaan bertambah.
"Pada minggu pertama pelancaran 'line-off' (31 Okt), kita telah rekodkan 400 tempahan, pada hari yang sama juga kita telah buka tempahan dengan pembayaran deposit RM500," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis lawatan Naib Presiden China Han Zheng ke Proton Tanjung Malim, di sini, hari ini.
Menurut Roslan jumlah tempahan dijangka bertambah selaras dengan aktiviti jelajah yang akan dilaksanakan pasukannya bagi memperkenalkan model tersebut kepada rakyat Malaysia dan pelancaran rasmi serta pengumuman harga akan diadakan dalam masa terdekat.
Pada 31 Okt lepas Proton melancarkan S70, model sedan baharu yang pertama ditambahkan ke barisan model Proton semenjak pelancaran Proton Persona pada Ogos 2016. Model itu akan dikeluarkan di kilang Proton Tanjong Malim.
Mengulas mengenai model Proton X90 yang mengalami kecacatan pendawaian dan membawa kepada insiden haba, Roslan berkata 93 peratus kenderaan yang dipanggil balik telah dibaiki.
"Ada kira-kira 3,000 yang telah kita jual, sehingga kini pun pasukan kita sedang menjejak baki pemilik X90 bagi membuat janji temu untuk pembaikan model tersebut," katanya sambil menambah pengeluaran terbaharu model itu bebas dari kecacatan tersebut.
Proton sebelum ini mengumumkan panggilan semula model X90 susulan kecacatan pendawaian yang boleh membawa kepada insiden haba kenderaan utiliti sukan (SUV) itu.
-- BERNAMA