Proton sasar 500 ribu kenderaan dalam lima tahun

Astro Awani
Januari 16, 2013 16:08 MYT
Proton mensasarkan untuk mengeluarkan 500 ribu unit kenderaan dalam tempoh lima tahun dengan sasaran hampir 20 peratus eksport.
Antara pasaran utama bagi eksport tersebut termasuk Indonesia, Thailand dan Australia.
Menurut pengarah urusan kumpulan Datuk Seri Kamil Jamil, melalui pelan penstrukturan dan perancangan yang sedang disusun DRB Hicom, sasaran itu mampu dicapai.
Mengulas berkenaan pinjaman Lotus bernilai 270 juta Pound (RM1.3 bilion) dari enam bank. Kamil berkata DRB Hicom sudah menemui pihak bank bagi memohon baki pinjaman yang kini dibekukan selepas DRB Hicom mengambilalih Proton.
Pinjaman tersebut bagi pembangunan lima tahun Lotus melibatkan lima model.
Sebelum ini, sejumlah 207 juta Pound (RM1 bilion) sudah diserahkan dan berbaki 60 juta Pound (RM290 juta).
Kamil pada masa sama berkata pembelian kejuruteraan enjin Petronas merupakan langkah untuk meningkatkan kualiti Proton di masa depan.
Beliau berkata dalam usaha untuk meningkatkan eksport dan jualan, Proton perlu terlebih dahulu meningkatkan kualiti terutama enjin.
Proton sebelum ini dilaporkan membeli kejuruteraan enjin dari syarikat minyak negara Petronas bernilai RM63 juta.
#Datuk Seri Kamil Jamil #DRB Hicom #lotus #Petronas #Proton
;