Proton Perdana generasi ke-4 dilancarkan
Pritha Manivannan
Jun 14, 2016 12:38 MYT
Jun 14, 2016 12:38 MYT
Proton Holdings Berhad mensasarkan jualan 3,000 unit model baharu Perdana generasi keempat menjelang akhir tahun ini.
Ini termasuk sasaran bulanan sebanyak 500 buah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, ini didorong harga model baru yang kompetitif.
Ahmad Fuaad berkata disamping kesuraman sektor automotif, Proton kekal optimis mencapai sasaran jualan tersebut.
"Harga yang kami umumkan iaitu 2.0 pada RM113,888 dan 2.4 pada RM138,888, harganya sangat kompetitif. Saya rasa kami akan dapat menjual sekurang-kurangnya 500 kereta sebulan," kata Ahmad Fuaad.
Sejak tempahan dimulakan pada Februari, Proton menerima kira-kira 900 tempahan dari seluruh negara.
Katanya Proton Perdana generasi ke-4 berintegrasikan reka bentuk dinamik dan anggun ini memberi nafas baru kepada Proton.
Menurut beliau, Proton menghentikan pengeluaran Perdana pada 2010.
Permintaan yang tinggi terhadap kereta tersebut mendorong Proton menghasilkan model baru dengan tahap keselesaan yang tinggi.
Tambah beliau Perdana baru ini juga melambangkan hasrat Proton untuk memberikan terbaik kepada pelanggan.
Perdana baru ini dipertingkatkan dari segi pengendalian kereta dan keselesaan.
Selain itu, Proton juga membuat penambahbaikan dari segi aesthetik dan aerodinamik untuk memenuhi keperluan semasa.
Perdana baharu 2.0L ditawarkan pada harga RM113,888 dan bagi 2.4L berharga RM138,888.
Ia mempunyai enam pilihan warna iaitu Graphite Grey (kelabu), Sterling Silver (perak), Ruby Red (merah), Cotton White (putih), Midnight Black (hitam) dan Citrine Gold (emas).