Proton mulakan pemasangan Saga di Pakistan, akan diikuti X70
Bernama
Oktober 27, 2021 15:36 MYT
Oktober 27, 2021 15:36 MYT
KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) mencatatkan peningkatan perdagangan dan aktiviti eksport apabila model Saga berjaya dikeluarkan oleh barisan pengeluaran yang dikendalikan Al-Haj Automotive, pengedar eksklusif Proton di Pakistan, pada 13 Okt, 2021.
Menurut Proton, Saga, model pertama Proton yang dipasang oleh Al-Haj Automotive telah dilancarkan oleh Presiden Pakistan, Dr Arif Alvi dalam satu majlis.
Pemasangan Saga oleh Al-Haj Automotive itu dilakukan di kilang pengeluaran baharunya di Karachi yang bernilai AS$20 juta, tambah Proton.
"Berdasarkan kapasiti tahunan permulaan sebanyak 25,000 unit, potensi jualan di pasaran Pakistan menjadi aspek penting bagi rancangan Proton untuk melonjakkan eksport pada masa depan," menurut Proton dalam kenyataan pada Rabu.
Bercakap pada majlis pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Al-Haj Automotive, Hilal Khan Alfridi berkata kejayaan pemasangan Saga di Pakistan merupakan kemuncak kerja keras dan usaha yang tidak kenal penat lelah oleh Proton, keseluruhan pasukan Al-Haj dan pembekalnya.
Beliau berkata dengan segala kesukaran dalam penguatkuasaan berkaitan COVID-19, pihaknya terus berusaha membina kilang baharu.
"Susulan itu, kami yakin ia akan mencatatkan standard industri baharu dan membolehkan kami untuk memperkenalkan lebih banyak produk yang menepati piawaian kualiti antarabangsa yang ditentukan oleh pihak Proton," katanya.
Proton juga menjelaskan, Proton X70 akan menjadi model kedua dipasang di negara tersebut selepas penghantaran terakhir 154 unit import sepenuhnya (CBU) pada 17 Okt lepas.
"Proton X70 mendapat liputan meluas di Pakistan kerana kombinasi reka bentuk, teknologi dan ciri keselamatannya. Pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C pada Disember ini," jelasnya.
Ia menambah, dengan penghantaran 154 unit terakhir Proton X70 pada pertengahan Oktober lepas, jumlah eksport model CBU ke negara tersebut adalah 602 unit.
Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata pihak Al-Haj telah menerima 2,500 unit tempahan bagi Saga dan lebih 2,000 unit tempahan bagi X70.
"Susulan penghantaran terakhir unit CBU yang dalam perjalanan, selain pemasangan tempatan telah bermula bagi Saga, manakala X70 akan dihasilkan sebelum akhir tahun ini, kami akhirnya dapat mengorak langkah ke hadapan untuk memenuhi permintaan pasaran.
"Ini akan memberikan ruang bagi Al-Haj Automotive dan Proton untuk mewujudkan keberadaan yang kuat di pasaran negara tersebut demi faedah pertumbuhan jualan masa hadapan," katanya.
Menurut Proton, dengan jualan eksport menjadi pengukuh untuk mencapai hasrat jangka panjang, komitmennya terhadap pasaran Pakistan menjangkau penghantaran unit pemasangan tempatan (CKD) dan alat ganti yang lain.
Ia turut meliputi sokongan sumber manusia dan pada masa ini, sebanyak 20 kakitangan Proton yang mempunyai pelbagai kepakaran dalam bidang berkaitan pengilangan telah ditempatkan di Karachi untuk membantu dalam proses pemasangan, jelasnya.
-- BERNAMA