Proton meterai MOU perkongsian strategik dengan Suzuki Japan
Tan Su Lin
Jun 15, 2015 19:11 MYT
Jun 15, 2015 19:11 MYT
Proton Holdings Berhad, DRB-Hicom Berhad dan Suzuki Motor Corporation, pada Isnin menjalinkan kerjasama dan perkongsian strategik melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) dan perjanjian lesen.
Perjanjian merangkumi empat bidang utama -- produk, teknologi, sumber manusia dan pasaran -- itu bakal memberi pengeluar kereta nasional itu akses kepada model, platform, enjin dan teknologi automotif Suzuki.
Menurut pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerjasama itu bakal membuka lembaran baru bagi Proton untuk mempelajari teknologi pembuatan kereta kompak.
“Kita perlu belajar dan bekerjasama dengan syarikat ini kerana mereka mempunyai teknologi dalam pembuatan kereta kecil dan kompak,” kata Dr Mahathir.
Selain itu, Proton juga bakal meneroka aspek memperluaskan model-model keretanya dengan kerjasama Suzuki.
“Buat permulaan, kita ambil model kereta Suzuki ini, ubah suai dan beri nama yang lain. Manakala di masa akan datang, kita akan bekerjasama dalam pembikinan beberapa model yang mana pihak Suzuki mempunyai kepakaran,” tambah Dr Mahathir.
Beliau ditemui selepas majlis pemeteraian MOU antara Proton, DRB-Hicom dan Suzuki di sini.
Perjanjian itu ditandatangani antara ketua pegawai eksekutif Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah; ketua pegawai operasi DRB-Hicom, Datuk Radzaif Mohamed; dan pengerusi serta ketua pegawai eksekutif Suzuki Motor Corporation, Osamu Suzuki.
Ia disaksikan oleh Dr Mahathir dan duta besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa.
Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan pengerusi DRB-Hicom, Datuk Syed Mohamed Syed Muztaza yang menyaksikan perjanjian berkenaan.