Proton meterai kerjasama strategik dengan tiga syarikat e-pembidaan
Bernama
Julai 7, 2023 11:25 MYT
Julai 7, 2023 11:25 MYT
KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd telah memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan tiga syarikat pembidaan dalam talian (EBC) untuk memudahkan proses penjualan kereta tukar beli untuk pelanggan.
Dengan perjanjian bersama EBC termasuk myTukar Sdn Bhd, MUV Marketplace Sdn Bhd dan CARSOME Sdn Bhd, syarikat pengeluar kereta nasional ini yakin ia telah mengambil langkah penting ke arah cara yang lebih pantas dan cekap untuk pelanggan memiliki kereta baharu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata dengan memanfaatkan kepakaran mereka dalam platform e-dagang dan bidaan, EBC menawarkan pelanggan penyelesaian yang lancar dan boleh dipercayai untuk menjual kereta, sambil turut menerima nilai tukar beli yang kompetitif.
Kerjasama ini dijangka memberikan pelanggan pelbagai faedah, termasuk kemudahan yang dipertingkatkan, kebolehpercayaan, nilai tukar beli yang kompetitif, ketelusan dalam penetapan harga, pembayaran yang selamat dan pemindahan pemilikan, lelongan harian, penjualan yang lebih pantas dan pemeriksaan menyeluruh.
"Kerjasama dengan EBC akan membantu meningkatkan usaha ini serta nilai model kami sambil membantu memudahkan pelanggan yang berhasrat untuk menaik taraf kenderaan mereka," katanya dalam kenyataan itu.
Kerjasama Proton dengan EBC akan membolehkan pelanggan menghantar kenderaan mereka untuk dilelong melalui platform dalam talian yang mesra pengguna.
Ini mengurangkan keperluan pelanggan untuk melawat berbilang pengedar atau berunding dengan bakal pembeli dan ini menjimatkan masa..
Melalui sistem lelongan yang adil dan terbuka, pelanggan akan dapat menerima nilai tukar beli yang kompetitif untuk kenderaan mereka.
Model penetapan harga yang telus memastikan pelanggan boleh membuat keputusan termaklum semasa proses tukar beli manakala proses pembayaran dan pemindahan pemilikan dipercepatkan untuk mengurangkan potensi kelewatan atau komplikasi, memberikan pelanggan pengalaman yang lancar.
Menurut Roslan, Proton ialah pengeluar peralatan asli (OEM) pertama yang membentuk perjanjian strategik dengan EBC dan ini akan membantu membuka jalan kepada transaksi tukar beli yang lebih pantas dan lebih telus untuk pelanggan dan seterusnya membantu memacu jualan kereta baharu.
"Selain itu, dengan menggunakan platform terbuka, nilai jualan semula untuk model kami boleh dipertingkatkan, dan ini membantu membina keyakinan pengguna dan memberi gambaran pemilikan yang lebih jelas kepada pembeli," jelasnya.
-- BERNAMA