Proton kemungkinan lepas pegangan 51 peratus miliknya kepada syarikat asing - Laporan
Astro Awani
September 28, 2016 14:31 MYT
September 28, 2016 14:31 MYT
Syarikat pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd dilaporkan akan melepaskan sehingga 51 peratus saham miliknya sebagai sebahagian dari strateginya untuk menarik rakan kongsi dari luar negara dan menambah kecairan tunainya, lapor Bloomberg hari ini.
Memetik sumber, Bloomberg diberitahu Proton sedang melihat syarikat Volkswagen AG’s Skoda dan Suzuki Motors Corp sebagai kemungkinan menjadi rakan kongsi.
Turut dipertimbangkan cadangan dari Renault SA dan PSA Group yang memiliki Peugeot dimana rundingan berasingan dikatakan sedang berlangsung.
Proton berharap dapat menyenarai pendek calon akhir dan melepaskan pegangan majoritinya, termasuk pegangan dalam syarikat dari Britain, Lotus Cars Ltd, pada Oktober lapor Bloomberg lagi.
Syarikat kewangan Malayan Banking Bhd juga dilaporkan telah dilantik untuk “memberikan nasihat jualan” dan pegawai syarikat itu dikatakan akan ke Jepun untuk bertemu pegawai syarikat Suzuki minggu hadapan, disusuli dengan pertemuan dengan pegawai syarikat Renault.
Bloomberg bagaimanapun belum mendapatkan sebarang pengesahan mengenai perkara itu dari Proton. Begitu juga tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh syarikat Suzuki, Skoda dan Malayan Banking.