Proton jual 14,787 unit kenderaan pada Jun 2022
Bernama
Julai 4, 2022 20:46 MYT
Julai 4, 2022 20:46 MYT
KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional Proton Holdings Bhd mencatatkan jualan bulanan terbaik setakat ini sebanyak 14,787 unit (tempatan dan eksport) yang didaftarkan pada Jun, berikutan usaha berterusannya bagi menyelesaikan isu kekurangan bekalan komponen.
Prestasi tersebut merupakan peningkatan sebanyak 51.0 peratus berbanding bulan sebelumnya, sekali gus meningkatkan jumlah jualan bagi separuh pertama tahun ini kepada 60,124 unit, kenaikan sebanyak 3.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Roslan Abdullah berkata, pengumuman insentif cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berakhir pada 1 Julai, mendorong kepada lonjakan jumlah tempahan berikutan pelanggan merebut peluang penjimatan yang ditawarkan.
"Proton telah menerima lebih daripada 150,000 tempahan untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, dan sekiranya ditambah dengan pesanan yang diterima sejak 2021, kami perlu bekerja keras untuk memastikan penghantaran kenderaan dapat dibuat secepat mungkin bagi memenuhi pemintaan pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Secara keseluruhan, Proton mengekalkan kedudukan pada tangga kedua dari segi jualan automotif di negara ini dengan anggaran pegangan pasaran semasa sebanyak 22.6 peratus.
Sementara itu, pegangan pasaran tahunan berjumlah 18.2 peratus, merosot 5.1 peratus berbanding pada separuh pertama 2021.
Jumlah eksport Proton bagi separuh pertama 2022 adalah 2,722 unit -- peningkatan sebanyak 81.2 peratus tahun ke tahun -- sekali gus menempatkan syarikat itu sebagai pengeksport jenama automotif utama di negara ini.
Model Proton Saga terus mendahului kedudukan dengan jualan eksport sebanyak 1,602 unit -- peningkatan sebanyak 78 peratus tahun ke tahun, manakala eksport Proton X70 dan Proton X50 berkembang pada kadar yang pantas iaitu masing-masing sebanyak 377 unit dan 100 unit.
Menurut Proton, kedua-dua model itu mencatatkan angka eksport terbaik dan lebih banyak unit akan dieksport pada masa akan datang.
Proton berkata Pakistan terus menjadi pasaran eksport terbesar dengan 1,770 unit bagi separuh pertama 2022, pertumbuhan sebanyak 183 peratus berbanding separuh pertama 2021, diikuti oleh Brunei dan Bangladesh iaitu masing-masing sebanyak 203 unit dan 194 unit.
"Eksport Proton adalah satu daripada tunggak utama dalam memacu pertumbuhan masa depan, malah selari dengan komitmen kami kepada kerajaan untuk membantu membangunkan industri eksport automotif di Malaysia.
"Dengan penambahan pasaran baharu seperti Afrika Selatan dalam portfolio kami, kami menyasarkan volum eksport akan terus berkembang dan menyumbang lebih banyak jualan pada masa hadapan," kata Roslan.
-- BERNAMA