Proton catat jualan terkumpul terbaik separuh pertama 2023
Bernama
Julai 5, 2023 14:07 MYT
Julai 5, 2023 14:07 MYT
KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional Proton mencatat kejayaan separuh pertama tahun 2023 dengan mencapai jumlah jualan terkumpul terbaik sejak tahun 2012, mengatasi pertumbuhan jualan untuk industri automotif dalam tempoh itu lebih daripada tiga kali ganda.
Dengan 14,351 unit dijual pada bulan Jun untuk kedua-dua pasaran domestik dan eksport, jumlah jualan pada separuh pertama 2023 kini berjumlah 77,321 unit.
Ini bersamaan dengan peningkatan 28.6 peratus tahun ke tahun, lebih daripada tiga kali ganda pertumbuhan pasaran automotif pada separuh pertama 2023 sebanyak 9.4 peratus.
Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata ini adalah angka pertumbuhan tertinggi dalam kalangan lima jenama teratas di pasaran automotif Malaysia.
Jumlah volum industri (TIV) bagi bulan Jun dianggarkan 61,900 unit dan pegangan pasaran Proton dalam 23.2 peratus manakala pegangan pasarannya setakat tahun ini telah meningkat kepada 21.3 peratus, peningkatan sebanyak 3.2 peratus tahun ke tahun.
Menurutnya, lima model menerajui jualan dalam segmen pasaran masing-masing dengan Proton Saga mendahului semula sedan segmen-A pada Jun dengan melepasi ambang 6,000 unit buat kali ketiga tahun ini dengan jualan 6,111 unit.
Sementara itu, 1,082 unit Proton X90 telah diserahkan pada Jun, meletakkan model itu terus di tangga teratas kategori SUV segmen-D.
Proton Persona turut mendahului segmen pasarannya pada Jun dengan sejumlah 2,254 unit dijual.
"Model ini mendahului semula sedan segmen-B sambil mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju segmen keseluruhan," katanya.
Selain itu, Proton Persona juga mencatatkan prestasi terbaik dari segi pertumbuhan jualan individu dengan peningkatan yang memberangsangkan sebanyak 79.4 peratus walaupun terdapat saingan yang lebih baharu dan lebih mahal daripada jenama lain
Pada masa yang sama, Proton X50 mengekalkan kedudukannya bukan sahaja sebagai pendahulu keseluruhan untuk SUV segmen-B, tetapi juga kedudukannya sebagai SUV paling popular di Malaysia dengan sejumlah 2,449 unit dijual pada Jun.
Secara kumulatif, 17,562 unit telah diserahkan tahun ini, meningkat 9.9 peratus berbanding tahun ke tahun.
Peneraju segmen keseluruhan kelima Proton ialah Proton Exora, yang kekal tidak dicabar dalam pasaran MPV segmen-C dengan 368 unit telah dijual pada bulan Jun.
-- BERNAMA