Proton catat jualan eksport tertinggi dalam tempoh 98 bulan

Bernama
Jun 16, 2021 13:30 MYT
Proton menyifatkan pertumbuhan itu dipacu oleh permintaan di pasaran tertentu, termasuk pasaran baharu serta sedia ada.
KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd berjaya menyerahkan sejumlah 669 unit kenderaan kepada pengedar luar negara pada Mei 2021, sekali gus mencatat angka jualan eksport tertinggi dalam tempoh 98 bulan sejak Mac 2013.
Dalam kenyataannya pada Rabu, pengeluar kereta nasional itu berkata pada akhir Mei 2021, jumlah jualan setakat tahun ini adalah 174 peratus daripada sasaran ditetapkan serta kurang enam peratus daripada angka keseluruhan 2020.
Proton menyifatkan pertumbuhan itu dipacu oleh permintaan di pasaran tertentu, termasuk pasaran baharu serta sedia ada.
"Pakistan misalnya merupakan pasaran baharu syarikat namun muncul sebagai pasaran ekport terbaik bagi tempoh lima bulan pertama 2021.
"Selain itu, Brunei yang telah menjual kereta Proton sejak 1987 pula di tempat ketiga dari segi jualan tahun ini. Malah pada Mei lepas, pengimport Proton PAD Motors telah mencatat jualan terbaik syarikat sejak penubuhannya," katanya.
Alpha Ezz El-Arab yang merupakan pengimport dan pengedar di Mesir, juga berjaya menjual sejumlah 350 unit setakat tahun ini dan di tempat kedua bagi pasaran eksport Proton.
Pengarah Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata perancangan bagi 2021 adalah untuk meningkatkan jualan eksport secara agresif.
"Walaupun terdapat kekangan antarabangsa serta peningkatan kos penghantaran akibat COVID-19, kami kekal yakin dapat mencapai sasaran berikutan pelan jualan pengimport selain kelebihan produk-produk yang kami tawarkan.
"Selepas lima bulan, kami hampir menggandakan jumlah jualan berbanding sasaran awal dan berharap ini menjadi petanda kejayaan berterusan untuk tahun ini," katanya.
Selain itu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung penularan COVID-19 juga menyaksikan operasi syarikat automotif terbatas berikutan penutupan sementara pusat jualan yang dijangka mempengaruhi jualan keseluruhan industri bagi tempoh beberapa bulan.
"Namun, Proton kekal optimis berikutan prestasi bahagian jualan antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, Xu berkata sejajar dengan peningkatan pertumbuhan jualan domestik, pemasangan model Proton di pasaran eksport juga penting bagi memastikan sasaran jangka panjang dapat dicapai.
Ini termasuk permulaan pemasangan tempatan bagi model Proton Saga di Kenya dan seterusnya di Pakistan.
"Jika semuanya berjalan lancar, rakan kongsi kami di Pakistan iaitu Al-Haj Automotive akan memulakan operasi pemasangan Proton Saga pada akhir Julai atau awal Ogos di kilang baharu di Karachi.
"Susulan itu, pemasangan Proton X70 akan dijalankan dan kami menaruh harapan tinggi perkembangan ini akan meningkatkan lagi pertumbuhan jualan di rantau Asia Selatan," katanya.
Selain itu, walaupun pertumbuhan jualan di pasaran eksport menjadi bukti penerimaan luas jenama Proton dan produknya, teras pencapaian sasaran jangka panjang adalah menerusi usaha mengekalkan pertumbuhan di pasaran ASEAN.
Rantau ini juga merupakan pasaran sengit dengan kehadiran pelbagai jenama antarabangsa melabur dalam kemudahan pengeluaran untuk pasaran tempatan dan eksport selain persaingan pengilang tempatan.
Menurut Xu, walaupun kehadiran Proton di pasaran ASEAN lebih terhad kepada Brunei pada masa ini, namun syarikat itu menyasarkan untuk memasuki semula dua pasaran terbesar rantau ini iaitu Thailand dan Indonesia dalam masa terdekat.
"Bagi membolehkan Proton menduduki tempat ketiga dari segi jualan tertinggi di ASEAN, kami perlu mencatat kedudukan secara meluas di Thailand dan Indonesia.
"Sebagai pasaran automotif terbesar rantau ini, kedua-dua negara itu mempunyai potensi jumlah (pasaran) meluas walaupun persaingannya juga amat sengit.
"Pihak kami sedang berusaha mengenal pasti rakan kongsi untuk mewujudkan satu rangkaian memastikan model perniagaan yang berdaya maju. Oleh itu, matlamat kami adalah untuk kembali ke pasaran Thailand pada 2022," katanya.
-- BERNAMA
#Proton #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan #PKP #ASEAN #Indonesia #model #Pakistan
;