Proton akan perkenal kenderaan elektrik seawal 2025 - Timbalan CEO

Bernama
April 12, 2023 18:29 MYT
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata pada masa ini, Proton dalam proses untuk mengenal pasti model yang bersesuaian untuk kenderaan elektrik yang lebih mampu milik dan praktikal. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Proton Holdings Bhd mungkin akan mempercepatkan pengenalan kenderaan elektrik yang bersesuaian untuk digunakan oleh pengguna Malaysia seawal tahun 2025 berbanding perancangan awal pada 2027.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata pada masa ini, Proton dalam proses untuk mengenal pasti model yang bersesuaian untuk kenderaan elektrik yang lebih mampu milik dan praktikal.
"Kita mungkin ada model yang mampu milik tetapi tidak praktikal. Oleh itu, kami sedang mengenal pasti bersama dengan Geely untuk mempercepatkan projek itu dan ini juga atas saranan pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk memastikan Proton dapat mempercepatkan projek kenderaan elektrik.
"Insya-Allah, jika ada makluman yang terbaru, kita akan maklumkan kepada media," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen Proton Rahmah 2023 di sini hari ini.
Kempen Proton Rahmah 2023 yang bermula hari ini hingga 31 Mei dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Kempen itu menggalakkan pemilik Proton menghantar kenderaan mereka ke pusat servis yang bertauliah untuk pemeriksaan keselamatan 40 mata percuma dan pakej servis berharga RM150 -- disasarkan kepada pemilik Proton Persona, Proton Iriz, Proton Exora, Proton Saga serta model terdahulu termasuk Proton Inspira, Proton Waja dan Proton Wira.
Mengenai kempen tersebut, Roslan berkata Proton menjangka antara 55,000 unit dan 57,000 unit kenderaan atau pelanggan yang layak untuk mendapat pakej servis tersebut sepanjang tempoh kempen itu.
"Saya berharap semua pelanggan Proton yang memiliki model yang disebutkan itu akan menggunakan peluang ini untuk mendapatkan penjimatan kos servis sebab harga kos servis biasa dalam RM202 tetapi sempena kempen ini, kita beri diskaun dengan harga RM150," katanya.
-- BERNAMA
#Proton Holdings Bhd #kenderaan elektrik #Roslan Abdullah #Proton Rahmah 2023
;