Prospek sektor korporat neutral pada 2025 - Fitch Ratings

Bernama
Disember 13, 2024 05:30 MYT
Fitch juga menjangkakan keperluan perbelanjaan modal (capex) berbeza mengikut sektor dengan intensiti belanjawan telekomunikasi untuk memudahkan pelancaran 5G yang akhirnya menyokong penjanaan tunai. - Gambar fail/Reuters/Reinhard Krause
KUALA LUMPUR: Fitch Ratings berpandangan neutral terhadap sektor korporat Asia Pasifik (APAC) pada 2025, mencerminkan kekuatan lembaran imbangan mereka dan prospek pertumbuhan stabil dan sebahagian besarnya mengimbangi turun naik dan ketidaktentuan global terhadap pembangunan ekonomi dan geopolitik.
Dalam laporan Tinjauan Korporat APAC 2025 yang dikeluarkan pada Jumaat, agensi penarafan kredit itu berkata, unjurannya termasuk asas kredit berdaya tahan untuk banyak sektor, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh dan kos input lebih rendah serta harga komoditi.
"Jangkaan kami termasuk peningkatan hasil yang stabil pada beberapa tahun akan datang bagi kebanyakan sektor APAC. Negatif utama ialah syarikat minyak dan gas. Sektor kimia, pelbagai pembuatan dan utiliti berkemungkinan bertambah baik, sementara kami menjangkakan sektor hartanah serta minyak dan gas akan berprestasi rendah," katanya.
Fitch juga menjangkakan keperluan perbelanjaan modal (capex) berbeza mengikut sektor dengan intensiti belanjawan telekomunikasi untuk memudahkan pelancaran 5G yang akhirnya menyokong penjanaan tunai.
"Fitch menjangkakan penyederhanaan belanjawan dalam bahan kimia dan pembuatan pelbagai. Sebaliknya, kami mengunjurkan belanjawan akan meningkat dalam sektor minyak dan gas untuk membiayai pengembangan penapisan dan pertumbuhan pengeluaran dan dalam sektor utiliti untuk menyokong peralihan tenaga.
"Ini akan membantu meningkatkan keuntungan kerana tenaga boleh baharu (TBB) menjana margin yang lebih tinggi daripada jana kuasa tetapi ia akan membebankan aliran tunai percuma," katanya.
Fitch juga telah mengunjurkan peningkatan umum dalam penjanaan aliran tunai pada tahun 2025 untuk APAC kepada hanya di bawah satu peratus daripada sekitarneutral pada tahun 2024.
"Kami percaya pembelian balik saham serta penggabungan dan pengambilalihan (M&A) boleh disambung semula dalam beberapa sektor seperti teknologi kerana kos pembiayaan semula menjadi lebih menarik. Peningkatan sebegitu seharusnya diterjemahkan kepada metrik leverage yang secara amnya stabil," katanya. - BERNAMA
#aliran tunai #Fitch Ratings #kos pembiayaan #tenaga boleh baharu
;