Prospek jualan kenderaan lemah pada 2024, sektor automotif kekal 'neutral' - AmInvestment

Dagang News
Disember 20, 2023 15:30 MYT
Bagi tempoh 11 bulan tahun ini, sektor itu merekodkan jualan sebanyak 715,849 unit. -Gambar fail/Pexels
KUALA LUMPUR: AmInvestment Bank Research kekal 'neutral' terhadap sektor automotif ekoran prospek jualan lemah dengan unjuran jualan sekitar 670,000 unit pada tahun hadapan.
Bagi tempoh 11 bulan tahun ini, sektor itu merekodkan jualan sebanyak 715,849 unit.
Tinjauan konservatif firma itu adalah berdasarkan normalisasi jualan kenderaan selepas tamat tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST)
"Selain itu, pelancaran subsidi bersasar pada 2024 dijangka menjejaskan pendapatan dan penggunaan boleh guna pengguna.
"Pada tahun ini kami menjangkakan jualan kenderaan akan berakhir pada tahap yang tinggi dengan peluang memecahkan rekod 720,000 unit pada 2022.
"Momentum yang sihat dalam jualan kenderaan pada suku keempat 2023 dijangka disokong oleh jualan dan diskaun akhir tahun apabila peniaga kenderaan mengurangkan inventori mereka," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, sektor itu kekal menarik dengan pelancaran model kenderaan baharu termasuk Proton S70, Honda CRV, Kia CArnival versi CKD dan Maxus MIFA 9. Selain itu, Bermaz Auto baru-baru ini melancarkan model CX-3 dan Mazda 2 yang dipertingkatkan.
Katanya, prestasi bulanan sektor itu agak kukuh kerana ia mencecah paras 70,000 unit untuk kali ketiga.
Penurunan dalam jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) diheret oleh jualan kenderaan komersial yang lebih lemah, yang merosot sebanyak 10% kepada 6,662 unit, manakala segmen penumpang turun sebanyak 3% kepada 65,246 unit.
"Disebabkan jualan kukuh pada November 2023, TIV sebanyak 715,849 unit dalam tempoh 11 bulan tahun ini telah melebihi unjuran 2023 kami sebanyak 710,000 unit.
"Kami percaya bahawa Disember akan memberikan hasil yang positif," katanya. - DagangNews.com
#AmInvestment Bank Research #sektor automotif #prospek jualan lemah #jualan kenderaan
;