Prospek ekonomi Malaysia cerah memasuki 2016

Luqman Hariz
Januari 5, 2016 13:38 MYT
Hala tuju harga minyak, ringgit serta pemulihan situasi ekonomi China merupakan antara faktor penting yang dijangka akan menyumbang.
Prospek ekonomi Malaysia dijangka cerah memasuki tahun baru 2016.
Menurut Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank Datuk Dr Nazri Khan, hala tuju harga minyak, ringgit serta pemulihan situasi ekonomi China merupakan antara faktor penting yang dijangka akan menyumbang kepada pemulihan matawang serta bursa tempatan tahun ini.
“Ketiga-tiga ini dicampur pula dengan langkah rangsangan besar-besaran di Eropah, China, malah Jepun juga, membuatkan ramalan saya ringgit akan naik kepada RM3.95 kepada dolar Amerika dan minyak pulih semula sekitar USD45-50 setong,” kata beliau dalam temubual ekslusif bersama Astro AWANI di sini hari ini.
Beliau menambah dengan menyatakan keyakinannya bahawa indeks FBM KLCI akan mencecah paras 1,800 mata menjelang hujung tahun ini.
“Saya yakin sektor yang akan menerajui peningkatan di bursa tempatan ini adalah sektor-sektor yang akan mendapat tempias dari peningkatan harga komoditi dan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang akan dilakukan tidak lama lagi, seperti sektor minyak dan perladangan,” tambah beliau.
Dr Nazri berkata beliau yakin prospek ekonomi Malaysia terus positif tahun ini dengan negara akan berupaya mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 5%.
“Saya nasihatkan para pelabur supaya menggunakan kelemahan buat masa ini untuk memasuki pasaran Malaysia secara perlahan-lahan dan mungkin dalam masa 6 hingga 7 bulan anda akan lihat keputusan yang positif,” kata beliau.
Sasaran defisit fiskal
Dr Nazri bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa sasaran defisit fiskal -3.1% kerajaan bagi 2016 mungkin perlu dilihat semula berikutan susutan pendapatan kerajaan, khususnya dari peruduman sektor minyak dan gas.
“Tetapi kerajaan telah perkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), jadi terdapat pendapatan tambahan bagi kerajaan kira-kira RM30 bilion di situ,” tegas beliau.
Sentimen dalaman dan penggunaan swasta
Berbincang mengenai GST, beliau bagaimanapun menambah cadangan supaya kerajaan turut mengambil langkah bagi merangsang semula penggunaan swasta yang telah menurun akibat peningkatan inflasi menerusi pengenalan GST.
Ini ekoran sikap rakyat yang semakin berhati-hati untuk berbelanja ekoran kenaikan kos sara hidup.
“Mungkin kerajaan boleh banyakkan lagi kempen-kempen jualan murah di Malaysia.
"Mungkin kerajaan boleh banyakkan lagi kempen-kempen jualan murah di Malaysia, atau mungkin kita boleh banyakkan kempen beli barangan tempatan berbanding barang buatan luar, atau merancakkan lagi pelancongan,” kata beliau.
1Malaysia Development Berhad (1MDB)
Ditanya mengenai perkembangan terbaru syarikat mengenai syarikat pelaburan strategik ini, Dr Nazri berkata kemampuan 1MDB melaksanakan pelan rasionalisasinya dalam tempoh enam bulan seperti yang dijanjikan, berjaya memperbaiki persepsi terhadap syarikat itu secara keseluruhan.
Tambah beliau, pelan rasionalisasi itu berjaya mencapai objektifnya kerana ia telah dilaksanakan secara sistematik dan mematuhi tempoh yang ditetapkan.
Beliau berkata bagi meneruskan proses pemulihan syarikat itu, 1MDB perlu mengukuhkan lagi modal perniagaan yang mampu menjana semula keuntungan.
“Saya yakin Arul Kanda akan tunjuk lebih banyak perancangan, yang akan melebihi sekadar langkah pengurangan hutang tetapi mungkin lebih berfokus kepada penjanaan dana,” kata beliau.
“Saya yakin Arul Kanda akan tunjuk lebih banyak perancangan, yang akan melebihi sekadar pengurangan."
Dr Nazri percaya 1MDB juga berupaya meraih semula keyakinan pelabur dengan memberi keutamaan kepada kelebihannya dalam sektor hartanah dan loji tenaga.
“Saya yakin 6 bulan lalu, 1MDB punyai visi dan strategi fokus yang baik, jadi kita harap ia dapat diteruskan pada fasa 6 bulan seterusnya,” ujar beliau.
Tegas beliau penjualan Edra Global Energy Bhd dan 60% pegangan Bandar Malaysia antara bukti keyakinan pelabur terhadap syarikat itu masih utuh.
Beliau turut berharap syarikat itu akan melancarkan lebih banyak bidaan tender di luar negara, sekaligus menarik lebih ramai pelabur asing ke Malaysia.
Saksikan berikut temubual penuh Datuk Dr Nazri Khan bersama Buletin AWANI 12.00 tengah hari membincangkan perkembangan ekonomi semasa tempatan dan antarabangsa serta prospek ekonomi negara.
#bursa #cukai barangan dan perkhidmatan #ekonomi #fbm klci #GST #Malaysia #minyak #Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik #pertumbuhan #prospek #ringgit #TPPA
;