Prospek Dan Peluang Baik Dalam Pasaran Bon Asia

Bernama
Julai 16, 2013 19:00 MYT
Pasaran bon Asia menawarkan prospek dan peluang yang baik untuk diteroka pelabur, termasuk Malaysia, berdasarkan asasnya yang kukuh.
Pengarah Urusan Pendapatan Tetap Manulife Asset Management Endre Pedersen berkata kredit Asia mempunyai nilai yang tinggi dan disokong oleh lembaran imbangan yang kukuh dan pulangan yang secara relatifnya menarik.
"Di Asia, terdapat permintaan daripada perbadanan untuk meminjam wang dan memilih pasaran bon tempatan dan bon utama untuk menyumber pembiayaan," katanya pada sidang media selepas pelancaran Manulife Investment - Asia Target Maturity Bond Fund yang memberi tumpuan ke atas bon tempatan dan asing.
Pedersen juga melihat mata wang Asia sebagai positif dan melihat potensi untuk pelabur memperoleh ganjaran mata wang asing.
"Pada pandangan kami, mata wang Asia masih di bawah nilai berbanding dolar US dan mempunyai ruang untuk meningkat pada purata 1.5 peratus kepada dua peratus dalam jangka panjang," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Manulife Asset Management Jason Chong berkata terbitan bon di Malaysia dijangka meningkat dalam tempoh separuh kedua tahun ini selepas turun naik pada separuh pertama.
"Kami mendapati ramai berminat terhadap pasaran sukuk berdasarkan amanah kerajaan untuk mempromosi sukuk," kata Chong.
#Asia #bon #endre pedersen #kredit
;