Prospek bank-bank Asia Pasifik diunjur lebih stabil - Moody's

Bernama
Januari 11, 2023 04:52 MYT
Menurut Moody's, prospek ekonomi kekal menyokong pertumbuhan serta kelayakan kredit bank-bank terbabit, walaupun dalam persekitaran menyederhana. - EPA
KUALA LUMPUR: Prospek bagi sektor perbankan Asia Pasifik dilihat lebih stabil, disokong oleh faktor keadaan ekonomi yang secara relatifnya kukuh, penampan kerugian lebih tinggi serta keuntungan yang semakin meningkat, kata Moody's Investors Service.
Firma penyelidikan itu berkata, prospek ekonomi kekal menyokong pertumbuhan serta kelayakan kredit bank-bank terbabit, walaupun dalam persekitaran menyederhana.
"Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar sebenar (KDNK) bagi kebanyakan pasaran Asia Pasifik adalah sederhana namun kekal sihat. Keadaan pasaran tenaga kerja yang ketat di pasaran lebih maju di Asia akan menampan impak inflasi yang tinggi serta kenaikan kadar faedah," katanya dalam nota penyelidikannya hari ini.
Menurutnya, kelembapan ekonomi global akan memberi cabaran kepada pasaran yang lebih bergantung kepada perdagangan serta eksport seperti Bangladesh dan Mongolia selain pelancongan seperti Thailand.
Selain itu, keadaan pertumbuhan di China yang lebih perlahan akan memberi kesan langsung ke atas bank-bank di Hong Kong, China and Taiwan.
Pada masa sama, menerusi saluran lain, ini akan memberi kesan tidak langsung ke atas bank di Australia, Indonesia, Mongolia, New Zealand dan Thailand.
Moody's turut menjangkakan peningkatan risiko aset namun kenaikan kos kredit itu lebih sederhana berikutan langkah bank mengekalkan penampan untuk menyerap kerugian yang tinggi.
"Pertumbuhan ekonomi yang mereda, kadar faedah lebih tinggi serta kenaikan inflasi akan menyebabkan peningkatan sederhana bagi pinjaman bermasalah. Keadaan ini juga adalah terurus memandangkan negara-negara terbabit mencatat pemulihan sepanjang tempoh 2021 dan 2022.
"Kemerosotan kualiti aset dijangka lebih ketara di pasaran dengan tahap hutang sektor swasta yang lebih tinggi seperti di China, Thailand dan Vietnam," katanya.
Dalam pada itu, bank-bank di pasaran sedang pesat membangun Asia secara amnya mengekalkan penampan kerugian pinjaman lebih ketara berbanding di pasaran lebih maju, kata Moody's.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi yang perlahan di seluruh dunia akan turut memberi kesan negatif kepada pasaran pengeksport dalam Asia Pasifik, sekali gus meningkatkan risiko untuk bank.
"Penyusutan harga komoditi seterusnya boleh memberi kesan kepada bank-bank yang beroperasi di pasaran pengeksport komoditi seperti Australia, Indonesia, Malaysia dan New Zealand.
"Perdagangan global akan terjejas dan seterusnya menjejaskan ekonomi berteraskan pembuatan seperti Korea Selatan, Malaysia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
"Kemungkinan perdagangan barangan global yang perlahan juga akan memberi kesan negatif bagi hab kewangan perdagangan seperti Singapura dan Hong Kong," katanya.
Bagaimanapun, ia mengunjurkan bahawa nisbah modal teras kekal tidak berubah dalam kebanyakan sistem kerana peningkatan keuntungan akan menyokong nisbah modal dan tahap modal akan selaras dengan pertumbuhan aset wajaran risiko.
Langkah pembiayaan global yang ketat pula akan memberi impak sederhana memandangkan bank-bank di Asia Pasifik lebih dibiayai oleh deposit mata wang tempatan yang melindungi impak keadaan kewangan yang ketat di pasaran bon global, katanya.
-- BERNAMA
#perbankan #Asia Pasifik #ekonomi #Moody's