Proses pemulihan ekonomi China dijangka lebih pantas - IMF
Harits Asyraf Hasnan
Januari 18, 2023 06:30 MYT
Januari 18, 2023 06:30 MYT
DAVOS: China dijangka melalui proses pemulihan ekonomi yang lebih pantas bermula suku kedua tahun ini selepas negara itu menamatkan dasar sifar COVID-19.
Jangkaan itu dibuat Timbalan Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Gita Gopinath selepas melihat trend jangkitan semasa di republik itu.
"Kami menjangkakan pertumbuhan di China akan pulih dan melonjak semula.
"Melihat kepada trend jangkitan ketika ini, dan jika ia berterusan, kita boleh melihat pemulihan yang sangat cepat bermula selepas suku pertama tahun ini," kata Gopinath dalam temu bual bersama Reuters seiring Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini pada Rabu.
Ekonomi China berkembang 3.0 peratus pada 2022, salah satu prestasi ekonomi terburuknya dalam hampir setengah abad susulan sekatan COVID-19 yang ketat dan kemerosotan pasaran hartanah.
Ahli ekonomi yang ditinjau oleh Reuters melihat pertumbuhan China pada 2023 sekitar 4.9 peratus dengan beberapa daripada mereka baru-baru ini meningkatkan ramalan kepada sekitar 5.5 peratus.
"Jika pertumbuhan di China akan datang lebih kukuh, di mana kemungkinannya sangat tinggi, maka kita boleh melihat satu lagi kenaikan harga minyak atau harga tenaga," katanya.