PropertyGuru menyambut baik saranan Cuepacs
Malik Ridhwan
Mei 3, 2016 17:27 MYT
Mei 3, 2016 17:27 MYT
Kerajaan harus memantau pelaksanaan GST, kos bahan mentah pembinaan dan menimbang menggunakan tanah rizab kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak rumah mampu milik.
Menurut Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia Sheldon Fernandez, ini boleh membantu penjawat awam memiliki rumah.
Sheldon membuat kenyataan berkenaan ketika diminta mengulas saranan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) agar kerajaan menetapkan harga rumah mampu milik berdasarkan kemampuan penjawat awam.
“Ia menjurus kepada kos dan kami merasakan kerajaan memainkan peranan penting dalam mengawal kos. Beberapa inisiatif yang boleh diambil seperti GST, bahan mentah dan juga penggunaan tanah milik kerajaan untuk pembangunan.
“Salah satu daripada faktor ini akan menurunkan harga rumah. Lebih banyak kos dapat diturunkan, lebih banyak pemaju boleh kurangkan harga jual kepada pengguna,” kata Sheldon ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya, faktor lain termasuk kos sara hidup turut menyumbang kepada kemampuan pemilikan hartanah.
“Kos sara hidup dan kemampuan juga antara yang Cuepacs tekankan. Hakikatnya, bukan pihak kerajaan tidak melakukan tanggungjawabnya tetapi individu juga perlu mendapat pekerjaan yang lebih baik.
“Oleh itu, gaji yang diterima dan pengurangan kos sara hidup jika diseimbangkan, boleh membantu anda memiliki rumah,” ujar Sheldon.
Sheldon turut mempersoalkan sama ada harga yang ditetapkan Cuepacs untuk penjawat awam memiliki rumah, mampu untuk dicapai.
“Mungkin RM80,000 hingga RM100,000 adalah kos yang sangat rendah. Ia bergantung kepada harga bahan mentah yang boleh didapati.
“Ketika ini, rumah mampu milik berada sekitar RM350,000 ke RM400,000 dan kerajaan sedang berusaha untuk menurunkan harga tersebut. Mampukah mereka membawa turun harga kepada RM80,000 dan RM150,000, itu adalah satu penurunan yang besar dan soalan yang sangat subjektif,” katanya,
Ahad lalu, Cuepacs melaporkan bahawa 960,000 atau 60 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam masih tidak memiliki rumah.