Proklamasi Darurat: Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih
Astro Awani
Januari 14, 2021 15:21 MYT
Januari 14, 2021 15:21 MYT
KUALA LUMPUR: Pasaran saham dilihat kembali kukuh selepas pelabur asing kini menjadi pembeli bersih.
Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli, berkata wujud pembelian panik beberapa hari lalu susulan pengumuman darurat oleh kerajaan.
Bagaimanapun, keadaan itu hanya bersifat sementara dan trend indeks pasaran mula menunjukkan peningkatan.
"Dengan data ini saya lebih melihat kepada kegusaran yang berlaku dalam pasaran ini sebenarnya tidak keterlaluan. Ia hanya berlaku kepada sebahagian pelabur-pelabur terutama pelabur runcit.
"Tetapi kepada pelabur asing, mereka melihat cerita-cerita negatif ini sebenarnya telah berlalu dan pasaran kalau dilihat dari segi indeks, sekarang ini dipanggil dalam trend menaik.
"Apa berlaku sekitar pagi ini (saham) naik kuat dan berterusan dari semalam tetapi berlaku aktiviti yang kita panggil sebagai pengambilan untung," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Khamis.
Jelas beliau, tindakan Proklamasi Darurat yang dibuat kerajaan telah memberikan keyakinan kepada pelabur-pelabur asing terhadap usaha kerajaan untuk menangani keadaan semasa dalam negara termasuk berkaitan COVID-19 dan politik.
"Oleh kerana iklim semakin stabil kerana ada Proklamasi Daurat dan juga kerajaan melakukan yang terbaik untuk menentukan penularan COVID-19 ini reda. Jadi, pasaran dengan sendiri akan terus naik.
"Kebanyakan penganalisis masih mengunjurkan indeks akan berada dalam aliran menaik," katanya.
Bernama melaporkan kaunter teknologi dan perbankan terus memacu Bursa Malaysia untuk meningkat pada awal dagangan hari ini dengan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI dibuka tinggi 1.31 mata kepada 1,638.0.
Pada 9.10 pagi, indeks itu meningkat 1.64 mata kepada 1,638.33 daripada 1,636.69 sewaktu ditutup semalam.
#pelabur asing
#Pembeli bersih
#darurat
#Proklamasi Darurat
#indeks pasaran
#ekonomi
#pelabur runcit