Projek stesen minyak beri keuntungan besar buat anggota dan koperasi - Noh
Astro Awani
November 29, 2021 15:25 MYT
November 29, 2021 15:25 MYT
KUALA LUMPUR: Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh Berhad bakal menambah aset dan sumber pendapatan kepada koperasi dan anggota-anggotanya menerusi pembukaan stesen minyak di KOTASAS, Kuantan, Pahang.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, projek jangka masa panjang itu dianggarkan dapat memperoleh hasil jualan sehingga RM18 juta setahun.
Jelasnya, projek yang dijangka berjalan hujung tahun ini akan beroperasi selewat-lewatnya pada suku tahun kedua 2022 dengan anggaran jualan bulanan mencecah RM1,326,572 berdasarkan lokasinya yang strategik.
Tambahnya, Koperasi Serbaguna FELDA Bukit Goh Berhad sudah memiliki sebuah stesen minyak jenama Petron di Felda Bukit Goh.
"Projek stesen minyak kedua itu bermula apabila pihak KOTASAS memberi peluang kepada pihak yang berminat untuk membeli tanah lot milik Pengurusan KOTASAS di Kuatan, Pahang.
"Koperasi ini bijak mengambil peluang yang ada dan membeli satu lot tanah dengan membangunkan tanah tersebut bagi mendirikan stesen minyak berjenama Shell.
"Stesen minyak tunggal di kawasan KOTASAS dapat menyediakan keperluan pengguna sekitar kawasan ini termasuk penggunaan petrol, diesel, kedai serbaneka Select dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, berlangsung Majlis Pecah Tanah Tapak Stesen Minyak milik Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh, Pahang, yang disempurnakan oleh Setiausaha Politik Noh, Datuk Kamaruzzaman Johari.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah serta Pengerusi Koperasi Serbaguna Felda Bukit Goh, Mat Zahari Derahman.
Penganjur majlis merupakan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Ibu Pejabat dan juga SKM Cawangan Negeri Pahang serta koperasi berkenaan.
Terdahulu, Noh berkata, data bagi pergerakan koperasi di Pahang sehingga 30 Jun 2021 merekodkan sebanyak 191 koperasi di seluruh negeri Pahang, dengan keanggotaan seramai 303,535 orang.
Jelasnya, jumlah modal syer atau yuran berjumlah RM328 juta dan jumlah aset bernilai RM1.6 bilion serta pendapatan (turnover) berjumlah RM415 juta.
"Perkara ini ketara menunjukkan dalam menempuh cabaran ekonomi sekarang, koperasi dilihat mampu bertahan dan meneruskan aktiviti seperti sedia ada walaupun terkesan dengan penularan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.
"Di bawah pimpinan seramai 12 anggota Lembaga dan disokong anggota seramai 734 anggota, koperasi negeri ini menjana pendapatan sebanyak RM9,647,795 antara Januari 2021 hingga Ogos 2021 malahan boleh mempelbagaikan aktiviti bagi menjana keuntungan dan dinikmati anggota dalam pelbagai bentuk sumbangan.
"Koperasi dilihat dapat bertapak dengan kukuh dan mampu bergerak jauh seiring dengan koperasi berjaya yang lain," katanya.