Projek sakit, Aspire Residence Cyberjaya siap September 2023 - Husam Musa
Bernama
April 10, 2023 14:48 MYT
April 10, 2023 14:48 MYT
CYBERJAYA: Projek kediaman Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) Aspire Residence Cyberjaya di Cyber 10 di sini yang dikategorikan sebagai 'projek sakit' akan siap dan diserahkan kepada pembeli pada September tahun ini, kata Pengerusi SPNB Datuk Husam Musa.
Beliau berkata sejak kontraktor baharu, Juteras Vision Sdn Bhd, mengambil alih projek berkenaan pada Mei 2022, ia telah mencapai lebih 93 peratus kemajuan pembinaan secara keseluruhannya.
"Blok 1 telah mencapai 95 peratus kemajuan, Blok 2 (93 peratus), dan Blok 3 (90 peratus)," katanya kepada Bernama dan RTM selepas melawat tapak pembinaan Aspire Residence di sini hari ini.
Aspire Residence melibatkan pembinaan tiga blok 25 tingkat meliputi 1,168 unit kediaman bagi tiga kategori berbeza mengikut saiz kediaman dengan pelbagai fasiliti antaranya kolam renang, taman permainan dan gimnasium.
Projek berkenaan bermula pada Oktober 2016 dan sepatutnya siap pada 2019 namun tergendala akibat isu aliran tunai dan kontraktor asalnya menghentikan kerja di tapak, yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembeli kerana tidak mendapat rumah dalam tempoh yang sepatutnya.
Husam berkata pada masa ini masih terdapat lebih 500 unit yang belum terjual dan SPNB akan menawarkan harga istimewa bermula RM300,000 bagi unit rumah berkeluasan 900 kaki persegi.
"Harga asal sebelum ini adalah hampir RM400,000 iaitu separa lengkap dengan perabot seperti kabinet dapur dan penyaman udara tetapi tawaran baharu ini meliputi unit kosong sahaja.
"Memang harga simen dalam pasaran meningkat tetapi oleh kerana kita ada tanggungjawab sosial, kerajaan tetapkan RM300,000. Tidak timbul isu konflik antara pembeli lama dan baharu berkaitan harga rumah kerana ia berbeza dari segi kelengkapan perabot yang disediakan," katanya.
Mereka yang berminat boleh memohon menerusi https://spnb.com.my/ sebelum September depan.
-- BERNAMA