Projek SA Sentral dilancar, GDV RM3 bilion
Bernama
September 6, 2024 07:45 MYT
September 6, 2024 07:45 MYT
SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini melancarkan SA Sentral, sebuah projek pembangunan bandar berimpak tinggi dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek itu yang dijangka mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan, berpotensi mentransformasikan bandar raya Shah Alam menjadi sebuah daerah pusat perniagaan yang dinamik.
"Pembangunan ini juga diharapkan untuk merubah Shah Alam kepada sebuah kota yang lebih vibrant, menarik dan dapat didiami oleh semua... anak muda, pasangan baru berkahwin, pesara.
"Ia juga secara tidak langsung akan menambah kitaran ekonomi iaitu peruncitan, aktiviti komersial sampailah kepada perhotelan...dan saya kira Shah Alam ada kekurangan dalam menganjurkan acara bertaraf antarabangsa, kita tidak mempunyai banyak hotel lima bintang atau hotel yang mampu menampung, jadi ini sedikit sebanyak akan dapat membantu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Projek SA Sentral, di sini, pada Jumaat.
Mengenai ura-ura perobohan beberapa bangunan ikonik di Shah Alam bagi memberi laluan kepada projek itu, Amirudin yang juga Pengerusi PKNS berkata, pembangunan SA Sentral akan melibatkan kerja penaiktarafan, membaik pulih dan menambah bangunan sedia ada.
"Demand Responsive Transit (DRT) akan menjadi antara elemen penting di sini, keperluan seperti bas akan ditingkatkan, kita mengalu-alukan rejuvenate Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang telah dibentang dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, kita terima dan saya harap dapat dipercepatkan oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB)," katanya.
Amirudin turut memberi jaminan akan memantau perjalanan projek itu bagi mengelakkan berlakunya insiden mendapan tanah.
Pada majlis itu, PKNS turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama rakan kongsi strategik iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC), Amverton Prop, IKEA dan KRU Entertainment.
Berkeluasan 145 ekar, projek itu melibatkan komponen pembangunan Plaza Alam Sentral (PAS), Plaza Perangsang, SACC Mall, SACC Walk, Kompleks PKNS Shah Alam, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) serta beberapa kawasan di Seksyen 14.
Pembangunan bercampur tersebut berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit yang menyaksikan semua bangunan akan dihubungkan antara satu sama lain.
Terletak di tengah-tengah bandar raya Shah Alam, SA Sentral berada di lokasi strategik, berdekatan dengan Stesen LRT 3 Dato' Menteri yang menghubungkannya dengan Lembah Klang. - BERNAMA