Projek pusat bekalan gas, loji janakuasa bakal ubah landskap Yan - PM

Bernama
September 1, 2022 13:45 MYT
Ismail Sabri berkata pembangunan projek itu bakal menjadikan Yan seperti Pengerang, Johor yang dahulunya hanya perkampungan nelayan tetapi kini menjadi kawasan perindustrian pesat membangun. - Bernama
YAN: Projek Pembangunan Berintegrasi Pusat Bekalan Gas dan Loji Janakuasa Pulau Bunting bernilai RM14.4 bilion di sini akan mengubah landskap ekonomi daerah Yan yang ketika ini bergantung kepada sektor pertanian.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembangunan projek itu bakal menjadikan Yan seperti Pengerang, Johor yang dahulunya hanya perkampungan nelayan tetapi kini menjadi kawasan perindustrian pesat membangun.
"Saya percaya Yan juga akan membangun dengan pesat menjadi kawasan perindustrian dalam waktu yang terdekat ini, bukan sahaja pembangunan yang dapat dinikmati, penduduk Yan terutama golongan muda juga bakal menikmati banyak peluang pekerjaan.
"Kerajaan Persekutuan komited menyokong pelaksanaan projek ini yang membabitkan tiga komponen utama bagi menjadikan kawasan ini sebagai hab ekonomi baharu di wilayah utara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan projek itu, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Pengerusi Kumpulan MMC Corporation Bhd Tan Sri Tajudin Atan dan pengarah urusan kumpulan Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan projek pembangunan berintegrasi itu di Pulau Bunting, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi Kumpulan MMC, Tan Sri Tajudin Atan dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.
Projek berkenaan yang merupakan sebahagian daripada pelaburan bernilai RM14.4 bilion diterima Kedah dibangunkan oleh Kumpulan MMC dengan kerjasama SKS Corporation Sdn. Bhd.
Antara komponen itu adalah hab kapal ke kapal (STS) Yan iaitu sebuah pelabuhan pesisiran pantai khusus untuk aktiviti pemindahan kargo produk gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum secara STS di Hab Pelabuhan Yan.
Komponen kedua yang bakal dibina adalah Loji Jana Kuasa Turbin Gas Kitar Padu dengan kapasiti 1,400MW yang turut dapat menjamin bekalan tenaga elektrik untuk negara, khususnya bagi wilayah utara di Semenanjung.
Sementara itu, komponen ketiga adalah terminal penghasilan semula gas berupa kapal terapung atau Floating Storage and Regassification Unit (FSRU) ataupun Floating Storage Unit (FSU) yang bakal berlabuh di pesisiran pantai Yan yang dikenali sebagai RGT Yan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri, memaklumkan pelancaran dua projek pelaburan mega termasuk Kedah Rubber City (KRC) sebelum ini yang kesemuanya bernilai kira-kira RM24.4 bilion menunjukkan Kedah tidak pernah dipinggirkan oleh kerajaan Pusat.
#Perdana Menteri #Yan #projek pembangunan berintegrasi #Pulau Bunting