Projek pembangunan mega di Teluk Dumpil bakal tawar 6,000 peluang pekerjaan

Bernama
Ogos 11, 2020 15:29 MYT
Pengerusi Pembangunan Setara Juara Sdn Bhd (SJSB) Datuk Seri Dr Arsit Sendi (kanan) bersama Pengarah Urusan SJSB Herman SK Lee menunjukkan pembangunan yang bakal di bina di Dumpil Bay Putatan dalam sidang media hari ini. - Bernama
Projek pembangunan campuran mega bernilai RM10 bilion di Teluk Dumpil Putatan dekat sini yang akan dimajukan oleh Setara Juara Sdn Bhd (SJSB) bakal menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Pengerusinya Datuk Seri Arsit Sedi berkata kerja-kerja pembinaan projek tersebut yang terletak di kawasan seluas 101 hektar (250 ekar) di tepian laut sepanjang lebuh raya Kota Kinabalu-Putatan-Lok Kawi itu dijangka bermula pada September depan.
Menurutnya, projek pembangunan mega itu melibatkan pembinaan pusat rekreasi, pelancongan, komersial, rumah antarabangsa, hotel dan taman tema termasuk pusat membeli belah terbesar di Sabah.
"Pembangunan ini diharapkan dapat membantu meningkatkan ekonomi tempatan dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dan perniagaan bagi penduduk tempatan dan pelabur antarabangsa dalam jangka masa panjang," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Arsit berkata pembangunan projek itu melibatkan empat fasa dan fasa pertama dijangka disiapkan dalam tempoh lima tahun.
Menurutnya, projek tersebut yang turut mendapat kerjasama daripada sebuah syarikat dari China bakal menjadikan kawasan pinggir bandar berkenaan sebagai kawasan zon perdagangan bebas komersial.
--BERNAMA
#peluang pekerjaan #projek mega #SJSB #teluk dumpil #zon perdagangan bebas komersial
;