Projek pembangunan mampu jadikan Pelabuhan Kemaman pintu masuk utama perdagangan, perindustrian T'ganu

Bernama
Januari 15, 2022 05:22 MYT
Ka Siong (tiga, kanan) melihat pelan projek pembesaran Pelabuhan Kemaman di Dermaga Timur Pelabuhan Kemaman, 15 Jan 2022. Turut hadir, Ahmad Amzad (kiri) dan Che Alias (dua, kiri). -- fotoBERNAMA
KEMAMAN: Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman bukan sahaja akan menjadi pemangkin baharu ekonomi penduduk setempat, malah pelabuhan itu akan berupaya menjadi pintu masuk utama perdagangan dan perindustrian Terengganu.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pada masa ini kapasiti pengendalian kargo di Pelabuhan Kemaman berjumlah tujuh juta tan metrik setahun dan pengendalian kargo akan meningkat kepada 33 juta tan metrik setahun apabila projek pembangunan pelabuhan itu siap pada 2025.
Katanya, ia akan terus meningkat berdasarkan unjuran semasa pembangunan perniagaan pelabuhan.
"Justeru, apabila kapasiti pengendalian kargo meningkat, pastinya jumlah pelaburan sama ada dari dalam atau luar negara akan turut meningkat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Pembangunan Pelabuhan Kemaman di Dermaga Timur di Pelabuhan Kemaman di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) Datuk Ahmad Amzad Hashim, Ahli Parlimen Kemaman merangkap Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kemaman Che Alias Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) Saabi Wahab.
Menurut Wee pelan pembangunan itu antara lain meliputi projek pemasangan empat kren dan perluasan dermaga (jeti) sepanjang 650 meter yang memperuntukkan kos hampir RM1 bilion.
Kerja-kerja pemasangan kren dan perluasan dermaga akan bermula dalam masa terdekat dan dijangka siap pada 2025, katanya.
Pelabuhan Kemaman | Pelan mampu tampung kargo 33 juta metrik tan – MOT
Wee berkata projek pembangunan pelabuhan itu amat diperlukan berikutan permintaan daripada pemain industri yang semakin meningkat dan pada masa yang sama, berupaya menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai hab komoditi dan perdagangan serta pintu masuk utama di wilayah Timur bagi komoditi berasaskan industri berat serta minyak dan gas.
Katanya projek pembangunan di pelabuhan itu juga seiring dengan keperluan masa depan memandangkan Terengganu mempunyai kawasan industri terutamanya minyak, gas dan petrokimia.
Beliau berkata pelan pembangunan itu juga akan membuka peluang pekerjaan yang luas kepada penduduk setempat dan memberi ruang kepada kontraktor tempatan.
-- BERNAMA
#Wee Ka Siong #pemangkin ekonomi #pengendalian kargo #pelabuhan kemaman
;