Projek MRT3 tidak akan diteruskan - PM

Astro Awani
Mei 30, 2018 14:39 MYT
Projek MRT Laluan 3 tidak akan diteruskan selepa kerajaan mengambil kira implikasi projek itu ke atas ekonomi negara. - Gambar fail
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan pembatalan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 3 atau Laluan MRT Lingkaran.
Pembatalan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira implikasi ke atas ekonomi kewangan negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas mesyuarat Kabinet hari ini, beliau berkata banyak masalah ditemui dalam pentadbiran kerajaan terdahulu terutama yang berkait dengan pembaziran.

"Menteri sudah jumpa banyak masalah yang ditinggalkan oleh kerajaan dahulu. Jadi kita mesti tentukan kedudukan kewangan diurus dengan berhati-hati supaya kita mampu urus kos pentadbiran," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.

MRT Laluan 3 dirancang kerajaan terdahulu untuk menjadi laluan rel transit ke-13, menggunakan sistem automatik sepenuhnya yang kelima dan sistem rel tanpa pemandu di Lembah Klang.
Sementara itu, Dr Mahathir turut mengulangi keputusan cadangan pembatalan Projek HSR dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH), dengan alasan ia memerlukan kos tinggi.
Berikut ialah rakaman sidang media Perdana Menteri yang diadakan sekitar jam 1 tengah hari tadi.
#Mahathir Mohamad #Malaysia Baharu #MRT Laluan 3 #MRT3 #Perdana Menteri #Transit Aliran Massa Laluan 3
;