Projek 'monopole' TNB bawa peluang pelaburan ke Pulau Besar

Nurulhana Ismail
Mac 28, 2016 19:07 MYT
Pulau Besar, Melaka kini mempunyai potensi yang lebih besar untuk menarik pelabur dalam pelbagai sektor. Ia dengan siapnya projek bekalan elektrik melalui talian penghantaran atas oleh TNB.
Pulau Besar, Melaka kini mempunyai potensi yang lebih besar untuk menarik pelabur dalam pelbagai sektor.
Ia adalah seiring dengan siapnya projek bekalan elektrik melalui talian penghantaran atas oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak Februari 2015.
Talian sepanjang 4.2 kilometer dengan kos kontrak bernilai RM32.5 juta ini siap 6 bulan lebih awal daripada sasaran sebenar iaitu pada Ogos 2015
Setakat ini, projek berkenaan telah memanfaat lebih kurang 10 pengguna di Pulau Besar termasuk Maahad Tahfiz yang menempatkan 135 orang pelajar dan 22 kakitangan, Muzium Pulau Besar dan juga beberapa kedai makan.
Menurut Penolong Kanan Sekolah Menengah Agama Maahad Tahfiz Pulau Besar, Ustaz Azmi Ismail, sebelum ini sekolah tersebut terpaksa menggunakan set janakuasa dengan kos yang tinggi selain risiko kerosakan pada alatan elektrik sekolah.
"Sebelum ini sekolah membelanjakan hampir RM30,000 sebulan bagi kos tenaga elektrik dan kini dengan adanya projek talian penghantaran atas TNB ini, kita dapat menjimatkan kos sehingga 60-70 peratus sebulan iaitu sekitar RM7000-RM8000," ujar beliau yang ditemui sewaktu lawatan media ke Pulau Besar anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Melaka pada Jumaat lepas.
Sementara itu, Pembantu Operasi Muzium Pulau Besar, Farnizam Khalids mengakui projek bekalan elektrik tersebut telah meningkatkan bilangan pengunjung daripada 100 ke 200 orang setiap minggu.
"Semasa masih menggunakan set janakuasa, kami kerap mengalami gangguan elektrik di muzium dan terpaksa menghentikan operasi. Kami terpaksa menjelaskan pengunjung akan masalah kami. Selain itu kos elektrik dapat dikurangkan jauh lebih rendah. Sebelum ini RM3000 sebulan kini hanya RM1000. Pengunjung juga bertambah ramai," kata beliau.
Projek ini merupakan usaha sama di antara TNB dan negeri Melaka.
#bekalan elektrik #Melaka #monopole #Pulau Besar #sektor pelancongan #Tenaga Nasional Berhad #TNB
;