Program Transfer bantu pulih ekonomi koperasi terjejas - SKM

Astro Awani
Jun 30, 2021 17:59 MYT
Transfer mensasarkan koperasi yang terjejas khususnya dalam sektor pelancongan serta yang tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (Transfer) di bawah Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi dengan peruntukan RM20 juta dapat memulihkan ekonomi koperasi yang terjejas menerusi penerokaan peluang baharu.
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di dalam satu kenyataan menjelaskan, program itu juga antara tiga lagi program lain di bawah Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi diketengahkan SKM dalam memulih dan mempergiatkan semula aktiviti ekonomi koperasi.
Jelas kenyataan itu, tiga program lain adalah Program Penubuhan Koperasi Prihatin Rakyat (KPR), Program Jualan Koperasi Prihatin Rakyat (JKPR) dan Program Dagang Produk atau Perkhidmatan Koperasi Atas Talian (e-Dapat).
"Transfer mensasarkan koperasi yang terjejas khususnya dalam sektor pelancongan serta yang tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu untuk menceburi bidang perniagaan yang baharu, produktif dan mampu memberikan pulangan yang cepat.
"Objektif program ini adalah bagi membantu koperasi yang terjejas untuk meneroka peluang perniagaan yang baharu bagi menyedia dan meningkatkan sumber pendapatan.
"Ia juga bagi menggalakkan koperasi untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi dan tidak tertumpu serta bergantung kepada satu sumber pendapatan," jelas kenyataan itu pada Rabu.
BACA: MEDAC bersama SKM tekad rancakkan semula Ar-Rahnu - Wan Junaidi
BACA: SKM saran kerajaan buka peluang koperasi sertai GLC
Kenyataan itu turut menjelaskan, sasaran ditumpukan kepada koperasi yang terjejas khususnya dalam sektor pelancongan dan penjagaan diri seperti hotel, rumah inap, perkhidmatan teksi dan bas serta agen pelancongan.
"Transfer akan dilaksanakan dalam tempoh satu tahun bermula Julai 2021 hingga Julai 2022 kepada setiap koperasi yang layak untuk meneroka dan menceburi perniagaan yang baharu.
"Sebarang maklumat lanjut berhubung program Transfer bolehlah terus berhubung dengan ibu pejabat SKM dan mana-mana SKM cawangan negeri atau melayari portal rasmi SKM di www.skm.gov.my," jelas kenyataan itu.
#SKM #pelancongan #ekonomi #transfer #e-Dapat #JKPR #PEMULIH
;