Program subsidi beras kurang berkesan
Bernama
November 23, 2015 23:18 MYT
November 23, 2015 23:18 MYT
Program subsidi beras ST15 dan S15 bagi membantu golongan berpendapatan rendah kurang berkesan berikutan beras dikeluarkan turut digunakan warganegara asing, pengusaha kedai makan serta dijadikan makanan binatang peliharaan.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2014 Siri 3, pengauditan dijalankan antara Mac hingga Julai 2015 mendapati kesannya menyebabkan ketiadaan stok beras subsidi di pasaran runcit, dan golongan sasar tidak dapat membeli beras dengan harga lebih murah.
Semakan audit melalui soal selidik terhadap 86 pelanggan mendapati 54 daripadanya warganegara Malaysia dan 32 lagi terdiri dalam kalangan warga asing seperti Bangladesh, Nepal, Indonesia, Pakistan dan Filipina termasuk golongan pengusaha kedai makan dan dijadikan makanan binatang peliharaan.
Selain itu, menerusi lawatan ke kedai-kedai runcit, sebanyak 34 daripada 83 kedai dilawati tidak mempunyai stok beras subsidi kerana mengikut maklum balas peruncit, stok bekalan beras subsidi yang diterima sedikit dan tidak mencukupi.
"Terdapat juga keadaan di mana stok diterima habis dijual dalam tempoh singkat dan peruncit tidak dapat menambah stok baharu sehinggalah pemborong menghantar stok bagi bulan berikutnya," menurut laporan itu.
Sebagai langkah penambahbaikan, laporan itu antara lain mengesyorkan supaya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mewujudkan mekanisme berkesan dan sesuai bagi memastikan golongan sasar benar-benar mendapat manfaat daripada program itu.
"Antaranya keperluan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau agensi lain bagi mewujudkan satu mekanisme seperti pemberian kupon berdasarkan program e-kasih atau penghantaran beras subsidi ke rumah golongan sasar atau mengubah dasar pembayaran subsidi dalam bentuk wang ringgit atau BR1M.
"Selain itu, kriteria pemilihan pemborong yang diguna pakai perlu disiasat dan pastikan pengagihan kuota kepada setiap pemborong yang sah diselaraskan berdasarkan keupayaan sebenar dan dipatuhi secara konsisten untuk mengelak pertikaian," menurut laporan itu.
Menerusi maklum balas diterima pada 21 Okt 2015, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjelaskan kementerian itu sedang merangka mekanisme baharu bagi penambahbaikan program sedia ada yang dijangka dapat dilaksanakan pada Jun tahun depan.