Program SMART SBB Bernas pertingkat hasil mutu padi tempatan
Ehsan A Marisah
Ogos 6, 2022 10:00 MYT
Ogos 6, 2022 10:00 MYT
SERDANG: Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dilihat berjaya membantu pesawah mengurus ladang secara sistematik dan meningkatkan hasilan padi lebih bermutu.
Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Ladang Bernas, Shukli Suban berkata, program berkenaan juga bukan bertujuan untuk mengambil alih tanah milik pesawah sebaliknya membantu meningkatkan ekonomi mereka.
“Kami (Bernas) mempunyai pasukan yang cukup untuk membantu pesawah daripada mulanya aktiviti bersawah sehingga peringkat akhir, iaitu bermula dari menebas jerami, menabur padi sehingga menuai.
“Sebenarnya, ini juga untuk mendisiplinkan mereka mengikut jadual kerja ladang yang telah dibincangkan bersama agar mencapai hasil serta sasaran dikehendaki,” katanya ketika ditemui pemberita di Laman Padi, Pameran Pertanian, Horikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Shukli menambah, pihaknya turut mengaplikasikan teknologi terkini kepada pesawah melibatkan produk, proses dan jentera yang diguna pakai.
“Di Bernas sebenarnya, kami melibatkan teknologi secara menyeluruh meliputi proses dan produk yang terbaik untuk diguna pakai kepada pesawah.
“Apabila kami buat pengurusan ladang secara berpusat, kosnya akan lebih efektif dan membantu pesawah mencapai kecekapan kewangan terbaik dalam pengurusan sawah mereka,” katanya.
Katanya lagi, apabila lebih ramai pesawah memfokuskan kepada hasil padi yang bermutu, ia mampu meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sekali gus sekuriti makanan negara akan lebih terjamin.
Sementara itu, pesawah dari Tanjung Karang, Selangor, Amri Adam, 50, berkata, pelbagai manfaat diterima pihaknya sejak menyertai program SMART SBB Bernas pada Jun lalu.
“Manfaat yang diterima adalah kita (pesawah) sentiasa dalam bimbingan Bernas untuk menama padi secara berilmu dan tepat melalui penggunaan racun lebih baik untuk hasil padi.
“SMART SBB Bernas ini turut memberi peluang kepada kami mendapatkan harga padi yang lebih baik,” ujarnya.
Program tersebut katanya, turut memfokuskan ke arah amalan pertanian lestari dan berteknologi tinggi.
Untuk rekod, program SMART SBB Bernas yang digerakkan itu adalah seiringan dengan matlamat MAFI untuk meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sebanyak 75 peratus.
*Artikel ini adalah hasil kerjasama bersama Bernas.