Program iTEKAD ISHRAF: SME Bank sasar bimbing 400 usahawan asnaf
Nabilah Khaleeda
Mac 21, 2023 11:19 MYT
Mac 21, 2023 11:19 MYT
KUALA LUMPUR: SME Bank telah melancarkan program iTEKAD ISHRAF bagi membimbing 400 orang usahawan asnaf, yang dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan enam rakan strategik program.
Program Keusahawanan Asnaf yang sebelum ini dikenali sebagai Program ISHRAF SME Bank, telah dijenamakan semula menjadi Program SME Bank iTEKAD ISHRAF setelah diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai inisiatif yang seiring dengan objektif Program kewangan sosial, iTEKAD yang dinaungi BNM.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah penyertaan telah meningkat lebih lima kali ganda untuk edisi ketiga ini.
“Berpandukan objektif untuk melahirkan usahawan asnaf yang lebih kompetitif dan berdaya tahan, program SME Bank iTEKAD ISHRAF seiring dengan pelan strategik KUSKOP 2023.
“Antaranya memberi fokus terhadap pemulihan, pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan dan koperasi agar lebih berdaya maju dan boleh beradaptasi dengan perubahan.
“Di samping itu, program ini juga menyokong konsep Malaysia MADANI yang menjadi kompas untuk kita maju ke hadapan,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Program Pembangunan Usahawan Asnaf SME Bank Itekad ISHRAF, di World Trade Centre, di ibu negara pada Isnin.
Hasil bantuan kewangan dan latihan yang diberikan membolehkan 400 usahawan asnaf menjana pendapatan dan mengusahakan perusahaan masing-masing secara lebih sistematik dan berdaya saing.
Menurut Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Wira Aria Putera Ismail, sebagai sebuah Program di bawah iTEKAD, Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui BNM telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk program ini, dan ia akan memberikan manfaat yang positif kepada Asnaf dan keluarga mereka serta dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia yang lebih baik.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.