Program Harapan Ramadan: CIMB agih 200 kotak makanan kepada keluarga kurang berkemampuan
Ehsan A Marisah
April 22, 2022 21:00 MYT
April 22, 2022 21:00 MYT
SHAH ALAM: CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic) bersama CIMB Foundation menerusi program Harapan Ramadan anjuran CIMB Group mengedar kotak makanan, bubur lambuk dan kuih-muih kepada 200 keluarga kurang berkemampuan di Pangsapuri Rimba Jaya Seksyen 16, Shah Alam, di sini pada Rabu.
Program tersebut bertujuan membawa impak yang bermakna kepada masyarakat sekeliling serta memberi keceriaan kepada penerima pada Ramadan dan juga Syawal yang bakal menjelang tiba.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, program Harapan Ramadan adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) khusus untuk Ramadan yang dijalankan bersama CIMB Foundation.
“Bantuan berupa kotak makanan ini terdiri daripada keperluan asas seperti ayam, beras, minyak, kurma dan tin sardin. Manakala, kuih-muih dibekalkan oleh usahawan yang ditaja melalui Program Keusahawanan Taylor’s-CIMB Islamic.
“Selain itu, kumpulan komuniti lain yang turut dibantu menerusi program Harapan Ramadan meliputi asnaf, golongan B40, anak yatim, warga emas, mualaf, orang Asli serta pelarian (refugee),” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pengagihan kotak makanan di Garaj Belia Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pangsapuri Rimba Jaya.
Mengulas lanjut, tambah Ahmad Shahriman, CIMB turut mengadakan aktiviti untuk menyantuni komuniti yang memerlukan dengan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kami bekerjasama dengan empat NGO, iaitu ADAB Youth Garage, Islamic Relief Malaysia, Yayasan Al-Khalifah serta Yayasan Belia Malaysia.
“Selain dari pemberian sumbangan seperti hari ini (kotak makanan), program Harapan Ramadan juga merangkumi aktiviti lain termasuk bantuan berupa baju raya dan wang tunai. Malah, ia diagihkan di seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di sekitar Lembah Klang,” jelasnya.
Sementara itu, Wakil Ahli Jawatankuasa (AJK) Blok C Pangsapuri Rimba Jaya, Rosmah Sasil, 49, berkata penduduk yang ditemuinya menzahirkan rasa syukur sejurus menerima perkhabaran tentang sumbangan yang diberikan pihak CIMB.
“Kami harap sumbangan dari pihak CIMB boleh diteruskan lagi kerana ramai penduduk di sini masih memerlukan bantuan bagi mereka yang datang daripada golongan warga emas, kurang upaya dan banyak lagi. Ia juga dapat membantu meringankan beban kira-kira 2,000 orang penduduk di sini," jelasnya.
Suri rumah, Siti Farah Mohamad Fadzllah Suhaimi, 33, pula berkata, sumbangan yang diterima itu sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan hariannya.
“Terima kasih kepada CIMB kerana memberi sumbangan yang dapat meringankan beban kami pada bulan Ramadan ini dan juga Syawal yang bakal menjelang tiba.
“Saya harap pihak CIMB dapat meneruskan usaha murni ini kepada penduduk di sekitar pangsapuri ini,” ujarnya.
Untuk rekod tahun ini, CIMB Islamic bersama CIMB Foundation memperuntukkan sejumlah RM750,000 yang memberi manfaat kepada hampir 4,000 keluarga di seluruh negara menerusi program Harapan Ramadan.