Program ekonomi lima tahun Malaysia-China dimeterai semasa lawatan Li Qiang - Tengku Zafrul

Bernama
Jun 18, 2024 12:50 MYT
Tengku Zafrul berkata program itu juga akan mengeratkan lagi kerjasama dalam robotik, pembangunan usahawan, inovasi dan syarikat pemula niaga, serta penyelidikan dan pembangunan dalam pertanian dan industri utama. - Gambar fail
SHAH ALAM: Program Lima Tahun untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan antara China dan Malaysia dijangka ditandatangani tidak lama lagi semasa lawatan sulung Perdana Menteri China Li Qiang ke Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata kedua-dua negara telah bersetuju untuk melaksanakan pusingan kedua Program Lima Tahun Malaysia-China untuk Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan yang akan memperkukuh hubungan antara industri dalam sektor utama seperti pembuatan peringkat tinggi dan ekonomi digital.
Tengku Zafrul berkata program itu juga akan mengeratkan lagi kerjasama dalam robotik, pembangunan usahawan, inovasi dan syarikat pemula niaga, serta penyelidikan dan pembangunan dalam pertanian dan industri utama.
Selain kerjasama ekonomi dan perdagangan, dua memorandum persefahaman (MoU) kerajaan kepada kerajaan dijangka dimeterai semasa lawatan itu, merangkumi MoU mengenai pengukuhan kerjasama pelaburan dalam ekonomi digital serta MoU berkaitan usaha menggalakkan kerjasama pelaburan dalam pembangunan hijau.
"MoU ini akan menetapkan hala tuju syarikat dari Malaysia dan China mengenai peluang pelaburan dan perniagaan dalam pelbagai sektor," katanya semasa melancarkan kilang pemasangan Chery Malaysia di sini, pada Selasa.
-- BERNAMA
#Malaysia-China #hubungan diplomatik #hubungan perdagangan #kerjasama ekonomi
;