Program Dari Desa ke Global lahir usahawan peringkat antarabangsa
Bernama
November 29, 2019 06:47 MYT
November 29, 2019 06:47 MYT
Program 'Dari Desa ke Global' dilihat mampu melahirkan ramai usahawan ke peringkat antarabangsa menerusi usaha memasarkan produk tempatan, setaraf produk luar negara.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata melalui program yang dilaksanakan kementerian sejak Julai lepas, usahawan diberi pendedahan mengenai keperluan produk dari negara lain, melalui lawatan ke ekspo dan pameran perniagaan ke beberapa negara.
"Ini adalah inisiatif kementerian untuk membantu mengembangkan perniagaan usahawan tempatan hingga ke peringkat global.
"Kementerian sudah bawa beberapa usahawan tempatan yang terpilih untuk menyertai ekspo dan pameran perniagaan antaranya di Singapura dan negara Timur Tengah bagi membolehkan mereka melihat sendiri suasana perniagaan dan produk dari negara lain," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2019 di sini, malam tadi.
Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2019 mengiktiraf kecemerlangan dan sumbangan syarikat tempatan dan asing daripada pelbagai industri di negara sekali gus membuktikan bidang keusahawanan sentiasa menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Program 'Dari Desa ke Global' merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dibangunkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk mengintegrasikan semangat kompetitif usahawan luar bandar di peringkat global.
Mengulas lanjut, Rina berkata menerusi program itu, usahawan diberi bimbingan dan latihan, kaedah pembungkusan serta penjenamaan produk masing-masing dalam usaha membantu meningkatkan mutu produk untuk tujuan pemasaran di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha menempatkan produk usahawan desa di beberapa lapangan terbang utama negara iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi di Kedah, Johor, Sabah dan Sarawak bertujuan memasarkan produk tempatan kepada pelancong asing.
-- BERNAMA
#Dari Desa ke Global
#ekonomi
#Ekspo
#pameran
#penjenamaan
#perniagaan
#produk luar negara
#Rina Mohd Harun
#usahawan