Program 3FR FGV bantu tingkat pendapatan petani
Dagang News
Februari 22, 2022 06:45 MYT
Februari 22, 2022 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Peningkatan hektar kawasan tanaman padi akan memberi manfaat kepada kira-kira 350 petani kontrak tempatan FGV Holdings Berhad (FGV), sekali gus berpotensi menjana pendapatan sebanyak RM1,540 untuk setiap tan metrik (MT) hasil padi.
Program Beras Wangi Fortified Field (3FR), di bawah Program Sawah Padi Pintar Berskala Besar (SBB) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah meningkatkan keluasan jelapang padi kepada 625 hektar (ha) bagi musim menuai terkini pada tahun ini, berbanding 577 ha yang diperuntukkan tahun lalu dalam kedua-dua projek Smart SBB di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut, Selangor dan IADA Seberang Perak, Perak.
FGV melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. (FGVIF) terus mengukuhkan pasaran beras wangi tempatan dengan perkembangan terkini perniagaan pertanian padinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, sebagai salah satu syarikat makanan dan perniagaan agri terkemuka di Malaysia, FGV sentiasa berusaha untuk menyediakan penyelesaian pertanian pintar dan memodenkan amalan perladangan terbaik.
"Ini sebahagian usaha memaksimumkan hasil dan pulangan terutamanya untuk para petani di dalam program ini. Oleh itu, kami amat berbangga dengan kejayaan menjadi perintis projek SMART SBB di kedua-dua IADA melalui 3FR," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
3FR FGV yang diperkenalkan tahun lepas, adalah sistem penanaman komprehensif mengintegrasikan teknologi pertanian pintar dan pertanian 4.0 untuk penanaman padi wangi yang berkesan.
Mohd Nazrul berkata, program tersebut sedang melaksanakan penggunaan mikrob dan perapi tanah untuk meningkatkan kesuburan tanah yang akan memberikan pulangan yang lebih baik terutamanya di kawasan yang rendah hasilnya.
"Selain itu, kami juga telah memasang stesen cuaca di tapak IADA Seberang Perak, yang memantau data-masa-nyata untuk pH tanah, suhu, kelembapan, tekanan, kelajuan angin, arah angin termasuk hujan. Ini akan memberi kita maklumat yang mencukupi dan penting berkenaan rawatan tanah yang diperlukan, seterusnya meningkatkan hasil padi yang diingini.
"Program 3FR juga menetapkan penanda aras baharu untuk industri melalui kaedah penggunaan teknologi dron di jelapang, kepada pengimejan hiperspektral dalam mengawal perosak dan penyakit,” katanya.
Tambah beliau, FGV juga merancang untuk melancarkan varian beras baharunya tahun ini iaitu SAJI Aroma dan SAJI basmathi.
“Kami dalam perbincangan dengan rakan strategik untuk mengedarkan beras SAJI Aroma ke seluruh negara. Ini bakal menjadi beras wangi tempatan yang pertama dikomersialkan bagi jenis MRQ76, setanding dengan beras wangi yang diimport.
"Kami menyasarkan beras baharu ini akan menarik minat pelanggan setia jenama SAJI dan menjadi pilihan nombor satu setiap isi rumah di Malaysia,” katanya.
Beras keluaran FGV di pasaran termasuk SAJI Super Istimewa Tempatan (SST) dan beras putih import (IWR). - DagangNews.com