Profesional data diperlukan untuk data raya, pacu kemajuan ekonomi - MDEC

Mohd Dzulfitri Md Yusuf
Oktober 6, 2017 14:36 MYT
Yasmin berkata, menjelang 2020, negara memerlukan 20,000 orang pakar dalam bidang data dan sehingga kini negara hanya memiliki 6,000 orang profesional data. - Gambar fail
Sejak dua tahun lepas, manusia menghasilkan data lebih banyak daripada yang dihasilkan sepanjang sejarah kewujudan manusia.
Ledakan maklumat yang memberi impak yang cukup drastik ini perlu diuruskan dengan baik dan ia kini komoditi baru yang memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.
'Big data' atau data raya memberi kesan yang menyeluruh, baik kepada individu, industri mahupun pihak pembuat dasar.
"Kita tidak boleh menafikan kepentingan 'big data'," kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) Datuk Yasmin Mahmood.
Bercakap kepada Astro AWANI dalam satu temu bual di Next Big Tech Asia 2017, beliau berkata, impak perubahan teknologi adalah sesuatu yang perlu diraikan.
"Malaysia tidak ada pilihan lain selain daripada berjaya dengan data raya. Pihak industri mengadaptasi dengan baik impak perubahan daripada kepesatan data ini.
"Tetapi, cabaran yang sebenar ialah, bagaimana kita meningkatkan kesedaran di peringkat akar umbi,” kata Yasmin.
Menyedari kepesatan dan juga juga potensi besar data raya, MDEC berperanan sebagai pemudah cara untuk mempercepatkan adaptasi penggunaan data raya di pelbagai peringkat.
Antara yang paling penting untuk dilakukan pada kadar segera buat masa ini ialah, menyediakan kapasiti modal insan yang profesional dalam bidang data.
Menjelang tahun 2020, negara memerlukan 20,000 orang pakar profesional dalam bidang data.
Unjuran ini mungkin lebih besar sekiranya kita mengambil kira keperluan industri yang mendesak untuk melahirkan lebih ramai saintis data, penganalisis dan jurutera data di negara ini, katanya.
Sehingga kini, Yasmin berkata, negara hanya memiliki 6,000 orang profesional data.
MDEC mengambil pendekatan proaktif dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang data dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak universiti awam dan swasta bagi memperkenalkan modul sains data.
Selain itu, MDEC dan ASEAN Data Analytics Exchange (ADAX), serta sebilangan pemain industri turut memperkenalkan program Data Star.
Data Star menawarkan kursus intensif dua bulan untuk melatih peserta menjadi jurutera, penganalisis dan saintis data sebelum diberi peluang bersama mentor dan menjalani latihan industri bersama syarikat-syarikat terkemuka.
Program ini bukan sahaja bertujuan memastikan negara mempunyai jumlah bilangan pakar data yang diperlukan industri, tetapi juga yang berkualiti taraf dunia
Ini sekaligus menjamin ekosistem pembangunan industri data raya menyeluruh dan mencapai potensi yang maksimum.
#Big data #data #data raya #ledakan maklumat #MDEC #Next Big Tech Asia 2017 #pakar #profesional #Yasmin Mahmood
;